08 Julai 2021

UMNO Sabah hormati mandat rakyat, kekal bersama GRS




UMNO Sabah menghormati mandat yang diberikan rakyat dan terus dengan pendirian untuk kekal bekerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan negeri yang ditadbir GRS bersama rakan komponen dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri ini berkata, GRS dibentuk hasil sokongan rakyat, justeru mandat yang diberikan rakyat perlu terus dihormati.

Menurutnya, Sabah baharu saja mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dan ketika ini kerajaan GRS masih berfungsi seperti biasa dengan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Bung berkata, pendirian UMNO itu turut dinyatakan semasa pertemuannya dengan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semalam.

"UMNO Sabah adalah sebahagian dari kerajaan GRS dan akan memberi fokus kepada usaha membangunkan Sabah. UMNO Sabah perlu bersolidariti dengan GRS kerana ini penting bagi memastikan janji yang diberikan kepada rakyat dalam PRN lepas dapat ditunaikan.

"Mandat yang rakyat berikan kepada kita untuk menjadi kerajaan perlu dimanfaatkan bagi membangunkan Sabah yang kini sudah agak jauh ketinggalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan ancaman COVID-19, keadaan ekonomi yang tidak stabil, banyak syarikat, usahawan dan juga penggiat industri perhotelan serta pelancongan berhadapan dengan masalah.

Justeru katanya, menjadi tanggungjawab kerajaan GRS untuk membangunkan Sabah sekali gus menjaga kesejahteraan rakyat Sabah.

Ketika ditanya mengenai keputusan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO yang menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bung berkata, UMNO Sabah menghormati keputusan berkenaan.


Sumber: Utusan Borneo Sabah

0 comments: