Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif (gambar) berkata, pencapaian peratus lulus STPM 2020 negeri meningkat sebanyak 0.07 peratus iaitu 98.93 peratus pada tahun 2020 berbanding 98.86 peratus pada tahun 2019.
“Daripada jumlah keseluruhan yang mengikuti peperiksaan STPM 2020, seramai 7,330 calon lulus penuh yang bersamaan dengan 98.93 peratus, berbanding 98.86 peratus pada tahun 2019, " katanya.
Tambah Arifin, dari segi pencapaian sekolah pula, sebanyak 58 daripada 98 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus pada tahun 2020.
Jelasnya, walaupun berdepan dengan cabaran akibat wabak pandemik COVID-19, namun hasil usaha gigih warga pendidik dalam menyediakan modul pembelajaran dan latihan nyata telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di pejabatnya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr.Mistirine Radin dan rombongan mengenai Keputusan Peperiksaan STPM 2020.
Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, pelajar yang mendapat keputusan lulus akan menerima Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 secara one-off.
Jelasnya, mereka yang bakal melanjutkan pelajaran ke IPT awam atau swasta tahun 2021 untuk kemasukan kali pertama IPT di seluruh Malaysia layak menerima bantuan BUDI daripada kerajaan negeri yang dikhususkan untuk anak Sabah.
Sumber: Utusan Borneo Sabah
0 comments: