23 November 2016

Laksanakan Program Mesej di Dun Sekong - Datuk Samsudin Yahya




Laporan Sidang DUN,Tempatan KOTA KINABALU - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah supaya dapat menyediakan Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) khususnya di DUN Sekong bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan melalui akuakultur secara sepenuh masa. 

Datuk Samsudin Yahya (BN- Sekong) berkata Program Mesej adalah langkah kerajaan melalui pelbagai agensi memajukan tanah- tanah di kawasan pendalaman bertujuan membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan. 

” Apa yang saya lihat ialah program Mesej dalam bidang akuakultur amat berpotensi untuk diketengah di Dun Sekong kerana majoriti penduduk miskin adalah terdiri daripada golongan nelayan yang tinggal di kawasan pulau melibatkan 14 buah kampung, antaranya, Pulau Timbang, Tronglit, Sibuad, Api- Api, Terusan, Simagung, Pulau Shanghai dan yang lain- lain,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Sabah 2017 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), disini, hari ini. 

Menurut beliau, program Mesej itu perlu diperluaskan ke DUN Sekong bagi membantu para nelayan di samping mewujudkan sistem perumahan yang teratur. ” Saya penuh yakin bahawa dengan penyertaan seperti ini, kehidupan akan lebih selesa apabila mempunyai pendapatan yang lebih baik, serta tempat tinggal yang lebih sempurna disamping kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.


Sumber:  SayangSabah



0 comments: