Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Khairul Firdaus Akbarkhan meminta semua ahli parti itu untuk kekal positif dan bertenang supaya kesepakatan dapat diteruskan tanpa diselitkan unsur negatif yang mampu memecah-belahkan parti.
"Kita minta agar semuanya bertenang dan jangan melakukan apa-apa tindakan yang akhirnya hanya akan mengeruhkan dan memburukkan lagi keadaan.
"Kita yakin bahawa Presiden parti cukup bijak dan mahir untuk membuat keputusan dan memikirkan langkah apa yang wajar diambil kelak demi kebaikan BERSATU,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media disini hari ini.
Menurut Firdaus, BERSATU merupakan sebuah parti yang ditubuhkan dengan matlamat untuk terus bersatu dalam mengharungi kemelut politik, dan semua ahli BERSATU sendiri perlu kekal bersatu.
"Kita tidak boleh mula berfikir yang bukan-bukan dan membuat sangkaan kita sendiri kerana apa yang berlaku ini bukanlah sesuatu perkara yang dapat kita jangkakan dan langkah terbaik untuk kita sebagai ahli BERSATU adalah terus kekal sebagai ahli yang menyokong perjuangan teras parti, sekaligus tidak berpecah kerana perpecahan hanya akan membawa masalah yang lebih buruk di kemudian hari,"katanya.
Jelas Firdaus lagi, beliau selaku Ketua Penerangan BERSATU Sabah akan sentiasa menyokong usaha atasan pemimpin parti BERSATU.
"Apa yang pasti, perjuangan parti yang dibawa oleh atasan parti akan terus kita sokong sepenuhnya.
"Ahli BERSATU perlu kekal bersama dan menjalankan peranan masing-masing dalam memperjuangkan pembangunan khasnya bagi negeri Sabah,"katanya lagi.
Sumber: Penerangan Bersatu Sabah
0 comments: