01 Mac 2020

Perdana Menteri Malaysia Ke-8



Kecelaruan politik negara yang masuk hari kelapan reda dengan pelantikan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baharu kelapan, hari ini.

Presiden Bersatu berusia 72 tahun itu, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Selepas negara berdepan dengan kemelut politik selama seminggu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri semalam selaras dengan Perkara 40()(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas pada hemat Seri Paduka, Ahli Parlimen Pagoh itu mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.


Boleh dikatakan, Muhyiddin mungkin telah memperoleh dirinya musuh politik baharu iaitu perdana menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak sampai dua jam sebelum majlis angkat sumpah Perdana Menteri yang baharu, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin bukanlah PM yang sebenar kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Dr Mahathir turut mendakwa beliau dan lima lagi Ahli Parlimen Bersatu -- Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah) - tidak menyokong pelantikan Muhyiddin.


Muhyiddin menerima ucapan tahniah daripada pemimpin tempatan termasuk watak penting dalam gabungannya iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertukar haluan daripada PKR ke Bersatu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di mana Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya, mendakwa sebagai mesra parti gabungan Muhyiddin, turut merakamkan ucapan tahniah dan mencadangkan bahawa perdana menteri baharu itu perlu diberi ruang selesa untuk melaksanakan tugasnya.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong merupakan pemimpin asing pertama mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin dengan melahirkan keyakinan hubungan yang sudah lama wujud dan kepelbagaian antara Singapura dan Malaysia akan terus berkembang di bawah kepemimpinannya.

Muhyiddin berasal dari Johor, iaitu jiran terdekat dengan republik itu.

Ahad lalu, beberapa pemimpin parti politik seperti Azmin, bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Ahmad Zahid, Abdul Hadi berkumpul di Hotel Sheraton Petaling Jaya, kemudian ternyata jelas percubaan untuk membentuk kerajaan gabungan baharu dengan parti komponen yang berbeza.

Pada hari berikutnya, Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa satu alasan untuk peletakan jawatannya sebagai perdana menteri adalah kerana tidak mahu UMNO dalam kerajaan gabungan baharu yang mungkin dibentuk nanti.

Beberapa jam selepas meletak jawatan, Seri Paduka baginda melantik beliau sebagai perdana menteri interim.

Susulan pertemuan dan rancangan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, PKR memecat Azmin dan Zuraida dan hampir serentak, kedua-dua pemimpin dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR keluar daripada parti itu.

Bersatu kemudian mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH), sekali gus mengakibatkan kerajaan pemerintahan PH runtuh kerana kehilangan kerusi majoriti dalam Parlimen.

Semalam, Seri Paduka baginda mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baharu selepas dua hari mengadakan sesi temu bual secara individu dengan Ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu lalu untuk menentukan individu yang mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen.

Sumber: Bernama


0 comments: