16 Januari 2020

Pilih Calon Kerajaan - Kata Khairul Firdaus




Para pengundi diingatkan agar terus memilih kerajaan yang ada sekarang semasa membuat pilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerajaan hari ini memerlukan sokongan padu daripada para pengundi bagi membolehkan kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan meneruskan agenda pembangunan yang dirancang.

Menurut beliau, adalah penting bagi semua pengundi untuk memastikan setiap agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

"Kita meminta para pengundi PRK Kimanis agar dapat terus mengundi dan memberi mandat kepada calon parti yang memerintah kerajaan negeri.

"Undi ini penting sebagai salah satu bukti sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali gus melancarkan lagi pelaksanaan pelbagai perancangan yang sedang dilakukan bagi program pembangunan dan kebajikan rakyat," ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas lawatan dari rumah ke rumah di Kampung Bambangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dindong, di DUN Membakut hari ini.

Hadir sama Ketua bahagian Kinabatangan Aksyah Nasrah, Ketua Srikandi BERSATU Sepanggar Aziah Atoh serta jentera Srikandi BERSATU cawangan PDM Bandau bersama Penerangan BERSATU Sabah.

Firdaus berkata, daripada kempen yang dilaksanakan, rata-rata pengundi menyatakan sokongan kepada calon parti kerajaan iaitu Datuk Karim Bujang.

"Kita mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang ditemui dan berharap momentum sokongan itu akan berterusan sehingga hari mengundi pada 18 Januari ini," katanya.

PDM Dindong mempunyai 433 pengundi.


Sumber:  UtusanBorneoSabah

0 comments: