13 Januari 2020

Kerajaan Ulangi Komitmen Meneruskan Projek Premis Burung Walit Percuma Pada Tahun 2020




Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong hari ini mengulangi komitmen Kerajaan Sabah meneruskan Projek Premis Burung Walit Sentuhan Rakyat pada tahun 2020.

Ketika ditemui wartawan hari ini, Datuk Junz berkata lawatan ke tiga premis beberapa hari yang lalu telah meyakinkan beliau bahawa projek ini sesuai untuk diteruskan dan dikembangkan bagi memantapkan industri burung walit di Kimanis, selaras dengan Rangka Tindakan Pembangunan Pertanian Sabah 2021 – 2030.

“Saya turun ke tiga premis pada hari Jumaat dan Sabtu yang lalu. Saya jumpa Puan Asnah Jimeh dari Kampung Brunei, Membakut dan Encik Yakob Ismail dari Kampung Nyaris-nyaris, Membakut. Kemudian saya jumpa Puan Mariam Yusof dari Kampung Darat Pauh, Bongawan.”




“Ketiga-tiga mereka antara 20 penduduk di sekitar Kimanis yang menerima rumah burung walit percuma pada tahun 2019. Mereka sangat bersyukur kerana Kerajaan Sabah hari ini telah membantu mereka secara proaktif.”

“Jadi program ini akan diteruskan berdasarkan sambutan positif penduduk setempat.”

Junz berkata meskipun premis-premis burung walit percuma ini terhad kepada 150 unit di seluruh Sabah pada tahun 2019, Kementeriannya telah menyediakan program bantuan kewangan bagi pemohon lain yang berminat menceburi industri ini.

“Peruntukan program ini terhad. Jadi Kementerian Pertanian hanya mampu membiayai 150 buah premis burung walit tahun lalu. Tapi pada masa yang sama, Kementerian Pertanian menyediakan bantuan kewangan buat pemohon yang berminat menceburi industri ini.”

“Kalau ada peruntukan lebih, saya akan tambah lebih banyak premis burung walit percuma. Jadi jangan bimbang. Program ini saya akan teruskan kerana ianya membawa manfaat kepada rakyat, kata Junz.


Sumber:  BorneoToday


0 comments: