08 April 2017

KERAJAAN NEGERI SABAH KOMITED TURUNKAN KADAR KEMISKINAN - YANG DIPERTUA NEGERI



Kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar


Kerajaan negeri akan terus komited untuk mempergiat usaha menurunkan kadar kemiskinan daripada empat peratus pada 2014 kepada satu peratus sebelum akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata untuk itu, kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar bagi meningkatkan lagi pendapatan rakyat luar bandar pada tahun ini.

Beliau berkata ini termasuk melibatkan Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) dan Ladang PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin).

"Peningkatan harga komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit dijangka meningkatkan lagi pendapatan para peserta projek-projek tersebut," katanya dalam ucapan dasar kerajaan bersempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-14 di sini Khamis.

Juhar berkata kerajaan negeri juga akan memperluas pelaksanaan program Pembangunan Kampung Sejahtera di 30 kampung pada tahun ini berbanding 20 kampung pada tahun lepas, selain mempertingkat pembangunan dan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pengusaha kecil di bawah Program Pembangunan Usahawan Desa.

Beliau berkata program latihan bagi pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar akan diteruskan bagi memantapkan lagi jentera pentadbiran kerajaan di peringkat akar umbi.

Mengenai pengurusan sumber hutan negeri, Juhar berkata Kawasan Terlindung Sepenuhnya di Sabah kini mencecah hampir 30 peratus (kira-kira 1.9 juta hektar) daripada keluasan tanah negeri berbanding hanya 11 peratus (850,000 hektar) pada 2004.

"Pencapaian ini telah melebihi sasaran yang ditetapkan oleh International Union for the Conservation of Nature (IUCN) iaitu sebanyak 10 peratus dan UN Aichi sebanyak 17 peratus," katanya.

Beliau berkata pada ketika ini, program pensijilan perhutanan yang terkini diwajibkan untuk mengekalkan kredibiliti sistem pengurusan perhutanan Sabah.

Juhar berkata pada 2003, hanya satu kawasan hutan hujan tropika di Sabah yang diperakui di bawah Gold Standard of Forest Stewardship Council (FSC) iaitu Hutan Simpan Deramakot berkeluasan 55,507 hektar.

Kini, Sabah memiliki hampir seluas 549,501 hektar hutan merangkumi hutan semula jadi dan hutan tanaman terletak di 10 kawasan berbeza di negeri ini, katanya.

"Keluasan hutan yang diperakui di bawah FSC telah meningkat 10 kali ganda dan merupakan yang terbesar di Malaysia," katanya, yang turut mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman atas pencapaian cemerlang dalam menguruskan sumber hutan negeri.


Sumber:  Barisan-Nasional


0 comments: