Gerakan koperasi di Sabah perlu memperkasakan dan melaksanakan transformasi sektor koperasi seiring dengan agenda transformasi pembangunan ekonomi negara.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hj. Hussin berkata beliau yakin gerakan koperasi di sabah akan menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, berdasarkan statistik koperasi di negeri Sabah berakhir pada 30 September 2016, negeri ini mempunyai sebanyak 1,345 koperasi berdaftar dengan kekuatan anggota seramai 342,855 orang yang memiliki modal syer dan yuran sebanyak RM146.8 juta dan aset sebanyak RM810.8 juta.
“Jumlah perolehan yang dicatatkan dalam tempoh 9 bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM159.3 juta”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian sijil penghargaan kepada ahli mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri Sabah (MPKNS), dekat sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Umar Sarim Haji Saidin.
Menurut Yahya, kerjasama strategik antara gerakan koperasi di Sabah dengan koperasi atau entiti lain yang mempunyai kepakaran akan meningkatkan keupayaan dalam sesuatu bidang berkaitan pembangunan perniagaan.
“Impak yang terhasil dari program pembangunan perniagaan koperasi iaitu pengwujudan peluang-peluang pekerjaan dalam gerakan koperasi yang pastinya meningkatkan imej koperasi di mata masyarakat.
“Di peringkat kerajaan, akan sentiasa memberikan dorongan dan sokongan dalam setiap usaha koperasi untuk melaksanakan transformasi terutamanya dalam bidang perniagaannya.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan melalui SKM menyediakan sokongan kewangan dalam bentuk geran dan pembiayaan pinjaman kepada koperasi-koperasi yang mempunyai projek yang berdaya maju serta dapat membuktikan komitmen dan kemampuan untuk menjayakan projek yang dirancang,” katanya.
Selain itu, Yahya berkata ahli koperasi mesti yakin dengan melabur dalam koperasi yang mereka serta.
“Ahli perlu membeli syer yang lebih banyak dan membayar yuran agar kewangan koperasi lebih kukuh yang secara langsung dapat meningkatkan pelaburan dan perniagaan koperasi”, tegasnya
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 28 ahli MPKN yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kementerian persekutuan dan negeri, pemimpin sektor koperasi, ahli-ahli akademik dam wakil daripada sektor swasta serta ahli-ahli koperasi.
Sumber: SayangSabah
0 comments: