09 Disember 2016

Sentiasa waspada demi kepentingan orang awam: Ketua Polis Sandakan


Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Md. Zain, berkata, menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam adalah tugas utama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru kata beliau, dalam memastikan perkhidmatan sentiasa dalam keadaan yang selamat, warga IPD khususnya daerah Sandakan perlu sentiasa lebih berwaspada dan berjaga-jaga demi kepentingan orang awam.

Tambahnya, dalam memastikan perkhidmatan utama itu dapat direalisasikan perkara penting harus ditekankan ialah kesedaran dan kemahuan untuk melakukan transformasi.

“Daya alaf transformasi disini merujuk kepada ketahanan secara holistik selaku pegawai Polis untuk menghadapi cabaran dan halangan dalam membentuk sebuah pasukan yang madani,” katanya.

Zabidi berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Bulanan 2016 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kelmarin.

Jelas Zabidi lagi, madani dalam konteks ini merujuk kepada daya usaha, daya saing, daya fikir serta daya tahan individu bagi mewujudkan sistem sosial lebih cekap dan bermutu.

“Sebagai seorang anggota keselamatan seperti pegawai polis tingkatkan integriti dan ketahanan dalam menghadapi cabaran melaksanakan transformasi ini dari segi transformasi minda, transformasi budaya kerja dan transformasi diri.

“Walaupun, hal ini bukan perkara yang mudah dan boleh dianggap remeh tetapi kejayaan itu terletak di tangan masing-masing,” katanya.

Namun begitu, pada masa kini masih ada yang mengamalkan sikap enggan menerima transfomasi walhal ianya kita perlukan.

“Dengan melakukan transformasi kita mampu bergerak seiring dengan peredaran masa dan keengganan kita untuk menerima dan menyambut baik kedatangan perubahan ini akan menyebabkan kita sentiasa berada di takuk yang lama, sehingga akhirnya menjadi tepu dan tidak relevan lagi”, katanya lagi

Sementara itu, perhimpunan bulanan yang berlangsung pada hari itu merupakan perhimpuan terakhir ACP Zabidi Md. Zain sebagai Ketu Polis Daerah Sandakan sebelum berpindah ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Kota Kinabalu. Pada perhimpunan itu seramai 200 pegawai polis termasuk anggota Marin, PGA, penjawat awam dari Jabatan Bomba dan Hospital Duchess of Kent (HDOK), pegawai awam dan pengamal media.

Dalam pada itu, Zabidi turut mengucapkan penghargaan bagi menghargai peranan media yang begitu komited serta memberi komitmen yang jitu dalam membantu menyebarkan info maklumat terkini kepada masyarakat.



Sumber:  newsabahtimes



0 comments: