24 Mei 2016

SKM lulus 12 permohonan pinjaman TMP koperasi di Sabah bernilai RM7.5 juta




Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan 12 permohonan pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP) koperasi di Sabah bernilai RM7.5 juta pada tahun 2015.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin berkata setakat 31 Disember 2015, SKM telah menerima permohonan pinjaman itu daripada 22 buah koperasi di Sabah dengan nilai RM40.4 juta.

“Daripada jumlah itu, hanya 12 permohonan diluluskan dengan nilaiRM7.5 juta dan baki 10 permohonan masih dalam tindakan ibu pejabat SKM,” katanya dalam perutusan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Negeri Sabah (MPKN) Bil.1/2016 di Soluxe Hotel, di sini, kelmarin.

Yahya yang juga Pengerusi MPKN Sabah berkata, SKM juga meluluskan sebanyak 17 permohonan bagi geran Bantuan Pembangunan koperasi bernilai RM725, 000.

Beliau berharap pembiayaan dana melalui pinjaman TMP dan pemberian geran bantuan kepada koperasi yang terpilih dapat dimanafaatkan sebaiknya oleh koperasi-koperasi dalam membangun dan memantapkan aktiviti mereka agar dapat menjana pendapatan dan ‘turnover’ yang tinggi serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan anggota koperasi.

Katanya, setakat 31 Disember 2015, Sabah mempunyai sebanyak 1,279 buah koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 350,364 orang.

“Modal syer dan yuran sebanyak RM141.67 juta, asset bernilaiRM764.68 juta dan perolehan sebanyak RM350.85 juta,” katanya.

Yahya berkata mulai tahun hadapan, sambutan Hari Koperasi Negara (HPN) akan menjadi acara dwi-tahunan dan akan diselang-selikan dengan sambutan Hari Koperasi Peringkat Negeri (HKPN).

“Pada tahun ini setiap negeri akan mengadakan sambutan HKPN di negeri masing-masing. Sambutan HKPN Sabah telah dicadangkan pada 12 hingga 14 Ogos depan di 1 Borneo Hypermall,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi (PULAKOP) yang dahulunya dikawalselia oleh ibu pejabatSKM Kuala Lumpur, kini diserahkan dan dikawalselia oleh SKM Negeri Sabah berkuatkuasa 25 Mac lepas.

Serentak itu, Yahya menggesa agensi-agensi yang berminat agar menggunakan pelbagai kemudahan fasiliti yang dimiliki PULAKOP.

Pada majlis itu Yahya turut menyampaikan Bantuan Pembangunan sebanyak RM50,000 kepada Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat Sabah Berhad dan sebanyak RM30, 000 kepada Koperasi Usaha Pekebun-Pekebun Kecil Tuaran Berhad.


Sumber  -  newsabahtimes


Related Posts:

0 comments: