22 Mei 2016

Kerajaan ambil berat pembangunan belia - Ketua Menteri Sabah




Kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa mengambil berat kepentingan dan pembangunan belia di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Sebagai bukti komitmen itu, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM200 juta kepada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi menerusi Bajet Negeri Sabah 2016 bagi memperkasa program pembangunan belia dan generasi muda.

Katanya peruntukan itu termasuk RM90 juta untuk Kementerian Belia dan Sukan negeri bagi program pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

"Ia sejajar dengan usaha melahirkan modal insan yang cemerlang, berkemahiran tinggi dan mampu memacu pembangunan negeri dalam pelbagai sektor," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Belia peringkat negeri di Padang Bandaran Sandakan, di sini hari ini. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Ketua Menteri berkata usaha pemantapan belia adalah proses berterusan yang perlu digembleng secara bersepadu.

Untuk itu, kerajaan terus komited untuk mempelbagaikan ruang dan peluang serta dasar pembangunan yang komprehensif bagi menjana kejayaan belia, katanya.

Musa berkata sebagai pemimpin hari esok dan harapan masa depan, belia perlu memiliki nilai kepimpinan dan jati diri.

Beliau berkata menyedari pentingnya penglibatan dan sokongan belia, beliau bersama-sama Tawfiq kerap turun padang untuk mendengar suara dan aspirasi belia.

"Menerusi program itu, kita dapat mengenal pasti kehendak, kecenderungan dan keperluan belia khususnya di peringkat akar umbi," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Tawfiq berkata Sabah merupakan negeri pertama di negara ini memiliki serta melancarkan indeks belianya sendiri.

Katanya pihak berkepentingan haruslah menjadikan indeks ini sebagai panduan dalam merancang pelaksanaan program belia dengan tumpuan harus diberikan kepada tiga domain yang masih lemah iaitu kesejahteraan ekonomi, waktu senggang dan sosialisasi politik.


Sumber  -  Bernama


Related Posts:

0 comments: