29 November 2015

RM260 juta untuk selaras Program '1Harga 1Barang'


Peruntukan sebanyak RM260 juta daripada kerajaan pusat untuk menyelaraskan ‘Program 1Harga 1Barang’ bukti kerajaan benar-benar serius meringankan beban kos sara hidup rakyat di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad berharap peruntukan itu dapat dibahagikan sama rata antara Sabah dan Sarawak untuk manfaat lebih satu juta penduduk luar bandar meliputi 503 kawasan di negeri ini.

Beliau berkata, selain pelaksanaan dasar itu, kerajaan akan terus mengekal dan meneruskan projek sedia ada dengan barangan yang menikmati pelarasan harga seperti beras ST15 peratus, tepung gandum, minyak masak, gula pasir, gas memasak LPG, Petrol RON 95 dan Diesel.

“Projek penyelarasan harga barangan bersubsidi ini juga bertujuan mengurangkan jurang perbezaan harga antara kawasan pedalaman dan bandar, memastikan barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasaran dan barangan boleh diperolehi dengan mudah pada harga kawalan.

“Di bawah program 1Sabah 1Harga, dicadangkan agar diwujudkan ‘rezoning’ baru di mana setiap transporter akan menghantar ke satu-satu kawasan sahaja dan tiada pertindihan transporter menghantar ke kawasan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pengguna Peringkat Negeri Sabah yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, di perkarangan bangunan Wisma Wanita, di sini, kelmarin.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Seri Faridah Haji Tussin dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Severinus Tukah.

Jainab berkata matlamat utama kerajaan ialah untuk mewujudkan masyarakat pengguna yang berdaya upaya serta memacu pasaran dan ekonomi negara ke arah negara maju.

“Pengguna yang berdaya upaya dapat mengekang sikap peniaga tidak beretika di samping mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

“Pada masa ini, tahap kesedaran pengguna hanya 58 peratus dan tahap pendayaupayaan pula hanya 52.6 peratus. Ini bermakna pengguna di negara ini sedar tentang ‘hak asasi’ mereka tetapi tidak menterjemahkan dalam tindakan,” katanya.

Sehubungan itu katanya pelbagai usaha dan inisiatif sedang dan akan ditambahbaik bukan sahaja untuk melindungi pengguna tetapi memastikan peniaga dan industri domestik turut berkembang dan berdaya tahan.


Sumber;  newsabhtimes

0 comments: