30 November 2015

Pengguna perlu bijak berbelanja


Pengguna diseru agar bijak berbelanja dalam urusan membeli barang keperluan rumah dan harus pandai memanfaatkan hak sebagai pengguna.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, pengguna perlu bijak untuk membeli barangan dari kedai yang menawarkan harga yang lebih murah daripada kedai lain.

“Sekiranya gedung itu menawarkan harga yang tinggi…mengapakah kita perlu beli di sana kerana mahal, kita boikot kedai itu dan inilah kuasa sebagai pengguna.

“Sekiranya barangan yang dijual dengan harga yang tidak berpatutan daripada harga biasa, anda sebagai pengguna boleh membuat laporan kepada kementerian yang berkaitan,” katanya ketika merasmikan Hari Pengguna Peringkat Negeri Sabah di sini kelmarin.

Musa berkata, kerajaan negeri kini mengusahakan satu mekanisme dengan memperkenalkan kempen 3M (Membeli, Memboikot dan Melapor) untuk mempertahankan hak pengguna rakyat.

Beliau berkata, kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai perlu bekerjasama dan bersatu agar tidak dipermainkan oleh peniaga yang sesuka hati menaikan harga barangan.

Selain itu katanya, Program 1Harga 1Barang yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2016 baru-baru ini membuktikan kerajaan benar-benar serius untuk meringankan beban rakyat.

“Dengan sejumlah peruntukan RM260 juta untuk diberikan di seluruh Malaysia, peruntukan itu akan dapat membantu rakyat mendapatkan harga barangan yang berpatutan.

“Daripada jumlah itu RM110 juta diperuntukkan untuk Sarawak, RM90 juta untuk Sabah dan selebihnya kepada Semenanjung Malaysia.

“Sekiranya jumlah yang kita terima tidak mencukupi, perbincangan sentiasa boleh dilakukan dengan Perdana Menteri untuk menambahkan peruntukan kerana beliau adalah seorang yang prihatin,” katanya.

Menurutnya, pujian harus diberikan kepada usaha dan komitmen NGO pengguna yang memperlihatkan kesungguhan dalam mendepani isu-isu kepenggunaan di peringkat akar umbi.

Musa menyeru agar semua NGO itu terus memperhebatkan dan memperkasakan peranan masing-masing agar kehadiran mereka dan kuasa pengguna benar-benar dirasai dengan gerakan bersepadu dalam memastikan perlindungan terhadap kepentingan pengguna.

“Melihat kepada isu kepenggunaan, sememangnya tidak dinafikan ia bersifat global. Sebarang bentuk perubahan teknologi atau idea baru akan memberikan kesan langsung kepada pengguna di negara ini.

“Menyedari hakikat ini, maka penglibatan aktif kita di peringkat global perlu dipertingkatkan menerusi badan antarabangsa seperti ASEAN Committee of Consumer Protection (ACCP) atau kerjasama NGO bersama Consumer International (CI),” katanya.

Musa berharap, model gerakan kepenggunaan di Malaysia menjadi contoh kepada negara lain khususnya di rantau ASEAN.

Selain melancarkan Hari Pengguna Peringkat Sabah, Musa turut melancarkan lagu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Sabah, dan Galeri Wanita di Wisma Wanita.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Sabah Datuk Amisah Yassin dinobatkan sebagai Tokoh Pengguna Negeri Sabah 2015 berikutan kecenderungannya memperjuangkan hak-hak dan memperkasakan hak pengguna di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Faridah Tussin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid serta tetamu kehormat lain.


Sumber:  utusanborneo

0 comments: