28 November 2015

BELANJAWAN 'LEBIHAN' UNTUK KELANGSUNGAN KEMAJUAN: KM



Datuk Seri Musa Hj. Aman
Belanjawan ‘lebihan’ bertujuan untuk mendukung usaha meningkatkan paras wang simpanan atau rizab negeri, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberi tahu kelmarin.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata matlamat di sebalik penggubalan belanjawan itu adalah untuk memastikan kesinambungan kesejahteraan dan kelangsungan kemakmuran negeri.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa buat masa ini, kita (Sabah) mempunyai jumlah rizab sekitar RM3 bilion untuk memastikan pembangunan sosio-ekonomi negeri kekal berterusan pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, hasrat di sebalik penggubalann belanjawan surplus adalah untuk mendokong usaha peningkatan kedudukan wang simpanan atau rezab negeri demi memastikan kesinambungan kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini.

“Kita berharap agar jumlah rezab ini akan semakin meningkat walaupun surplus itu merupakan amaun yang kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Pada Jumaat lepas, Ketua Menteri membentangkan Bajet 2016 berjumlah RM3.490 bilion dengan mencatat lebihan bajet atau surplus RM29. 90 juta, berbanding anggaran kutipan hasil RM3.520 bilion.

Musa berkata, Bajet 2016 akan dibelanjakan berdasarkan keperluan dan mengikut kemampuan.

“Kita akan mengamalkan perbelanjaan berhemat dan pada waktu yang sama berusaha mengelakkan pembaziran,” katanya.

Beliau turut menjelaskan setiap bajet yang dibentangkan adalah satu perancangan berupa anggaran.

“Tiada siapa yang boleh meramalkan dengan tepat perkara-perkara seperti jumlah kutipan hasil negeri kerana terdapat faktor di luar kawalan kerajaan negeri.

“Kerajaan sedar dan tahu bila masanya kita perlu berbelanja dan bila masanya kita perlu berjimat tanpa perlu menjejaskan kesejahteraan rakyat dan momentum pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran dalam melaksanakan setiap agenda pembangunan negeri Sabah, namun berkat iltizam dan sokongan padu rakyat, Kerajaan Barisan Nasional negeri Sabah akan terus berjuang demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

Musa berkata, kerajaan tidak pernah mengetepikan kepentingan rakyat, bahkan perjuangan membela rakyat akan tetap diutamakan dan terus diperhebatkan.

Katanya lagi Bajet 2016 akan memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negeri sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.


Sumber:  newsabahtimes

0 comments: