09 Disember 2015

Sikap kurang prihatin kebersihan punca peningkatan denggi




Punca berlakunya peningkatan kes demam denggi dibeberapa kawasan Daerah Sandakan adalah kerana sikap kurang prihatin sebahagian penduduk dengan kebersihan di kawasan perumahan masing-masing.

Menyedari hal tersebut, beberapa pemimpin, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama komuniti setempat telah mengadakan Gotong Royong Mega gempur tempat pembiakan nyamuk aedes di Taman Perumahan Taman Mawar Fasa 2 di Sandakan baru-baru ini.

Gotong-royong anjuran Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Sabah bersama Majlis Perbandaran Sandakan itu diadakan atas sebab situasi denggi di daerah ini membimbangkan kerana jumlah kes kini semakin meningkat.

Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Haji Mohd. Hamsan Haji Awang Supain semasa ditemu ramah berkata, dengan adanya gotong royong sebegini dapat mengurangkan kes demam denggi di daerah ini dan khususnya di Taman Mawar ini.

“Selepas gotong royong ini saya berharap penduduk teus berusaha menyahut kempen kerajaan 10 minit sahaja 1 minggu untuk keluarga di rumah itu membersihkan kawasan masing-masing,” katanya

Kata beliau, jika ada seribu rumah melakukannya selama 10 minit dengan memeriksa kawasan rumah parit tersumbat, tin-tin yang boleh menakung air hendaklah dibuang di tempat disediakan, buang air dari piring pengalas pasu dan menutup semua bekas menyimpan air serta bubuh ubat pembunuh jentik-jentik (abate) di dalamnya dengan itu pasti tiada sumber nyamuk untuk membiak.

Pembiakan nyamuk Aedes juga boleh terjadi dengan aktif di rumah kosong dan tapak kawasan pembinaan dan ini menyumbang kepada penyebarannya.

Namun ramai tidak tahu, nyamuk aedes dewasa mampu terbang dan berada dalam lingkungan 200meter dari tempat ia membiak.

Dengan itu, sebagai penduduk yang bertanggungjawab hendaklah mengambil kira kebersihan di tempat seperti berikut jika terdapat di kawasan perumahan berdekatan.

Ketika ditemui, wakil penduduk Zantapha Zainal Abidin berkata, program seperti itu amatlah bertetapan di buat bagi membolehkan penduduk sedar akan bahayanya jangkitan aedes, apatah lagi pernah berlaku jangkitan aedes di kalangan penduduk di kampung itu.

“Program gotong-royong ini disertai oleh hampir 100 orang dan sebagai wakil penduduk Taman Mawar Fasa 2 sangat berterima kasih kepada pihak majlis dan beberapa NGO, agensi kerajaan yang terlibat sama demi menjaga kesihatan penduduk di kawasan ini,” kata Zantapha.

Sementara itu Pengerusi Mahad Tahfiz Al-Quran Wassunnah Sandakan Datuk Daning Bajau, berharap gotong royong yang dianjurkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dan seterusnya mengamalkannya.

Manakala menurut laporan daripada Jabatan Kesihatan Sandakan, mukim yang banyak menyumbang kepada kejadian wabak denggi adalah Mukim Sibuga dan Sentosa masing-masing dengan 19 dan 13 episod wabak yang berlaku tahun ini.

Sehingga kini, terdapat 10 lokasi wabak denggi yang aktif di dua mukim berkenaan iaitu di Taman Tai Fai Yin, Rajawali, Taman Kenari, Mawar Sendang, Taman Tyng, Leila, Anggerik, Taman Rimba Gaya, Bandar Sandakan termasuk Taman Mawar Fasa 2.

Tindakan Undang-undang dibawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 bakal dikenakan kepada penduduk atau penghuni yang didapati membiarkan pembiakan Nyamuk Aedes dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga 10ribu Ringgit Malaysia atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Sumber:  newsabahtimes

0 comments: