Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sekong, Datuk Samsudin Yahya, menyambut baik saranan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, supaya memberi tumpuan terhadap penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin (PATI) di samping membendung kemasukan warga asing secara haram.
Beliau berkata operasi itu perlu dibuat secara agresif, bersepadu dan menyeluruh semua bukan tertumpu kepada warga Filipina dan Indonesia sahaja tetapi secara keseluruhan warga asing yang masuk ke Sabah.
“Sejak kebelakangan ini ramai warga asing datang ke negeri Sabah dan kita tidak pasti kehadiran mereka itu adakah melalui cara yang betul menggunakan laluan sah atau pun pas lawatan mereka tamat tempoh dan mereka (warga asing) mengambil keputusan untuk mendiami di negeri ini dengan sewenang-wenangnya bekerja pelbagai jenis pekerjaan.
“Premis-premis perniagaan seperti kilang-kilang, pusat pelancongan di kepulauan perlu juga dipantau kerana terdapat warga asing bekerja di premis-premis yang mencuriga. Selaku Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, saya juga meminta mana-mana pemimpin masyarakat (JKKK dan Ketua Kampung) yang didapati melindungi PATI perlu diambil tindakan keras, jika ada yang melindungi PATI lapor kepada pihak agensi keselamatan,” tegas beliau.
Samsudin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Sapi menggesa pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Dalam Negeri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, penguatkuasa bekerjasama dengan memeriksa pengenalan diri (warga asing) mereka kerana ada yang tidak mempunyai dokumen.
Beliau berkata pengumuman Ketua Menteri Sabah disambut baik oleh Umno Bahagian Batu Sapi kerana ia merupakan sebahagian daripada langkah drastik yang akan diambil untuk menangani masalah pendatang tanpa izin yang sejak sekian lama menghantui penduduk di Sabah.
“BN Batu Sapi mahu Perintah Berkurung di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) diteruskan dan dipantau serta mewartakan pulau-pulau tumpuan perlindungan dan persembunyian PATI dan penjenayah rentas sempadan sebagai Kawasan Larangan.”
Pada Rabu Musa telah mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan keselamatan di Sabah hari ini iaitu Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Dalam mesyuarat itu Musa turut menggesa semua pihak terutamanya majikan dalam memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah, manakala pemimpin masyarakat, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung pula diarah supaya memberi kerjasama kepada agensi keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing.
Beliau memberi amaran tindakan akan diambil terhadap mereka yang melindungi pendatang tanpa izin.
“Sama dengan strategi perintah berkurung, kami yakin strategi Kawasan Larangan akan mewujudkan kesan ketara dalam agenda kami untuk membendung kemasukan pendatang tanpa izin.
“Ini sebaliknya akan membantu kerajaan negeri dalam mengatasi masalah pendatang tanpa izin yang menjadi fokus utama kami pada masa depan,” katanya.
Sumber: newsabahtimes
0 comments: