Sandakan Bandar Raya Alam Semulajadi
Bandar ini akan terus membangun dengan pesat terutamanya yang melibatkan perhubungan jalan raya apabila beberapa projek sedang di naik taraf ketika ini.
Penaiktarafan sepanjang jalan di kawasan Batu Sapi dan Jalan Labuk misalnya, bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan kepada pengguna-pengguna jalan raya tetapi juga sudah pasti merangsang pertumbuhan ekonomi daerah.
Ini kerana, umum mengetahui status Sandakan yang cukup terkenal dengan kepelbagaian pembangunan ekonominya apatah lagi sektor seperti pelancongan yang telah membolehkan ia dikenali serata dunia.
Sesungguhnya, pendekatan kerajaan yang menyalurkan pembangunan secara menyeluruh kepada rakyat telah membantu merancakkan lagi sosio ekonomi lebih-lebih lagi bandar ini menjadi tumpuan pelabur dalam dan luar negara.
New Sabah Times yang membuat tinjauan kelmarin mendapati rata-rata penduduk setempat teruja dengan kepesatan pembangunan yang sedang dikecapi ketika ini khususnya melibatkan penyediaan prasarana infrastruktur yang lengkap untuk rakyat.
Malahan mereka cukup gembira apabila pembinaan perumahan juga sedang giat dijalankan sekali gus memberikan peluang kepada rakyat jelata yang berpendapatan rendah untuk menduduki rumah kos rendah tersebut.
Ia menunjukkan keprihatinan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa untuk membantu rakyat dengan memastikan program pembangunan berjalan lancar agar ekonomi dapat berkembang pesat sejajar dengan perkembangan semasa.
Pengerusi Kelab Penyokong BN Sabah dan Kerajaan (KPBNSK) Zon Sukau, Jaafar Matnor, berkata kepesatan pembangunan di kawasan ini membuktikan kerajaan BN menunaikan segala janjinya pada pilihan raya lepas.
“Inilah agenda perjuangan kerajaan BN yang sentiasa membela nasib rakyat terutama dalam memastikan pembangunan asas untuk semua. Bahkan, daripada segi prasarana seperti jalan raya umpamanya … Sandakan akan mempunyai jalan yang baik tidak lama lagi.
“Misalnya, sepanjang jalan di Batu Sapi dan Labuk Labuk ketika ini sedang di naik taraf sekarang yang bukan hanya membantu melancarkan perjalanan lalu lintas khususnya kesesakan pada waktu puncak, tetapi juga merangsang ekonomi daerah ini.
“Kalau siap penaiktarafan Jalan Labuk itu, ianya akan memudahkan kenderaan bergerak lancar samada ke arah Batu 32 untuk ke destinasi yang dituju khususnya Kota Kinabalu atau sebaliknya,” katanya semasa ditemui.
Seorang peniaga sarang burung, Jainal Mad Daud pula memberitahu kepelbagaian projek pembangunan di Sandakan membuktikan bahawa kerajaan prihatin tambahan lagi bandar berkenaan sedang berkembang pesat.
Beliau yakin penaiktaran jalan raya akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi sekali gus menarik kedatangan para pelabur terutamanya pelancong untuk mengunjungi beberapa lokasi pelancongan yang menarik.
“Oleh itu, kita berikan sokongan yang padu kepada kerajaan BN kerana salah satu bukti betapa prihatinnya kerajaan ini adalah menerusi usaha meningkatkan tahap pembangunan yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada semua rakyat termasuklah di luar bandar,” ujar beliau.
Sumber: newsabahtimes
0 comments: