11 Disember 2014

Peruntukan pembangunan kampung untuk JKKK perlu ditambah - Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Sairin Karno

Peruntukan setiap pembangunan kampung di negeri ini yang berjumlah RM20, 000 yang diberikan kepada badan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) perlu ditambah.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Sairin Karno, berkata dengan adanya penambahan peruntukkan sediada itu akan memudahkan badan JKKK melaksanakan projek masing-masing mengikut keperluan rakyat yang amat memerlukan tanpa mengharapkan dana dari pihak lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan watikah perlantikan Pengerusi JKKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri DUN Liawan di Pejabat Bilik Gerakan Umno di Keningau di sini pada Selasa.

Selain daripada peruntukan kepada pihak badan JKKK ditambah untuk pembangunan kampung, beliau turut mencadangkan setiap pejabat daerah di negeri ini juga turut diberi geran peruntukan khas daripada pihak kerajaan berjumlah RM200, 000 setiap tahun untuk tujuan pembanguan daerah, tabung kebajikan dan sebagainya.

Jelasnya lagi, dengan adanya insentif daripada pihak kerajaan itu ia dapat memudahkan Ahli Jawatankuasa Tindakan Daerah dalam melaksanakan pelbagai pasarana pembangunan berkaitan kepada rakyat selain membendung gejala rasuah di kalangan kakitangan awam dan mengelak daripada terikat mana-mana pihak berkaitan yang boleh menjejaskan nama baik pegawai kerajaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Sairin yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan turut mengingatkan kepada setiap Pengerusi JKKK yang baharu dilantik mahupun yang sudah lama berkhidmat supaya komited, amanah, kreatif, berinovasi dan berkerjasama selain bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan demi kesejahteraan rakyat di bawah jagaan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan setiap pengerusi JKKK ataupun mana-mana pemimpin setempat yang lain didaerah ini khususnya dikawasan DUN Liawan agar tidak terlibat sebarang perkara yang boleh menjejaskan imej baik sebagai pemimpin kepada rakyat sebaliknya menjadi medium terbaik dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.


Sumber: newsabahtimes



0 comments: