UNIT Agropreneur Muda (UAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk melahirkan 1,200 agropreneur dalam kalangan orang muda dalam bidang keusahawanan pertanian sepanjang tahun ini.
Pengurus Kewangan dan Pembiayaan UAM Azemi Zainol berkata, sehingga kini seramai 1,807 peserta telah berdaftar dengan UAM dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,400 telah diberikan latihan mengikut bidang masing-masing.
Menurutnya, kesemua peserta Agropreneur Muda terlibat dalam sub sektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani dan pemasaran.
“Program ini bertujuan menggalakkan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun menjadi usahawan. Sehingga kini, bidang tanaman mendapat sambutan menggalakkan iaitu seramai 429 peserta.
“Selain melalui UAM, borang permohonan program ini boleh diambil di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian dan pejabat pertanian di peringkat daerah,” katanya ketika ditemui di Program Biz Talk Agropreneur Muda - Hasilan Daging di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Serdang, semalam.
Timbalan Pengarah Agropreneur Muda Mardi, Dr Mohamad Kamal Abdul Kadir berkata, 350 peserta berada di bawah Mardi untuk program itu.
“Kami sasar lahirkan 100 usahawan muda menjelang akhir tahun,” katanya.
Katanya, Mardi memfokus kepada bioteknologi, mekanisasi, industri asas tani, tanaman, lebah kelulut dan cendawan.
Sementara itu, syarikat Melawati Kebab Sdn Bhd yang pernah menyertai program Agropreneur Muda dikendalikan Mardi kini turut memberi bantuan kursus dan latihan kepada peserta melalui program Ala-Francais Usahawan Jaya (Projaya).
Pengarah Urusan Melawati Kebab Sdn Bhd, Shafeii Salim berkata, Projaya bertujuan untuk membuka peluang perniagaan kepada usahawan dan melahirkan usahawan berjaya pada masa akan datang.
“Kami menyasarkan akan melahirkan 150 usahawan tahun ini dan kini seramai 20 peserta telah mengikuti Projaya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian Online
0 comments: