Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sugut yang gagal menunjukkan prestasi baik akan ditamatkan perkhidmatan.
Anggota Dun Sugut Datuk James Ratib berkata tindakan itu bagi memastikan hanya mereka yang betu-betul layak memegang jawatan itu dan memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat akar umbi.
"Saya sendiri akan memantau prestasi pengerusi JKKK di Dun Sugut dan mereka yang gagal melaksanakan tugas dengan baik akan ditamatkan perkhidmatan dan digantikan dengan mereka yang betul-betul layak," katanya pada Majlis Penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK Dun Sugut di sini hari ini.
Beliau berkata terdapat 65 pengerusi JKKK dengan 80 peratus daripada mereka adalah muka baharu daripada 71 kampung dalam Dun Sugut.
James berkata, peranan pengerusi JKKK penting sebagai mata dan telinga kerajaan serta menjaga kebajikan penduduk kampung di kawasan masing-masing.
Sumber: Bernama
0 comments: