Sebanyak 4,928 rumah dengan sejumlah 24,931 penghuni berjaya dibanci sepanjang tempoh operasi bancian yang dilancarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di empat kawasan perkampungan air di sini bermula Sabtu lepas.
Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata 58 peratus atau 2,847 buah daripada jumlah keseluruhan rumah itu didiami penduduk bukan warganegara manakala baki 42 peratus atau 2,081 rumah dihuni rakyat negara ini.
Beliau berkata Kampung Mangkalinau mencatatkan jumlah rumah setinggan milik bukan warganegara terbanyak iaitu 70 peratus atau 1,291 rumah berbanding 30 peratus atau 566 rumah warga tempatan.
“Jumlah rumah yang dihuni bukan warganegara juga agak tinggi di Kampung Forest (termasuk Good View) iaitu 55 peratus atau 653 rumah berbanding 45 peratus (536 rumah) milik rakyat tempatan.
“Rumah yang didiami warganegara di Kampung Muhibbah dan Cahaya Baru pula melebihi rumah bukan warganegara,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat post-mortem program banci perkampungan air Sandakan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan Esscom Mej Jen Datuk Mohd Noor Osman dan Pengarah Bahagian Awam serta Khidmat Pengurusan Esscom Abdul Rahim Ishak.
Mohammad berkata secara keseluruhannya operasi bancian, yang bermula 15 Feb dan berakhir dalam tempoh yang ditetapkan semalam, berjaya dilaksanakan dengan baik walaupun terdapat 244 rumah kosong yang tidak dapat dibanci.
“Hari ini, kita akan buat ‘mopping up’ (operasi pembersihan) dan kita minta pegawai dari Jabatan Perangkaan masuk semula ke kawasan perkampungan air tersebut, khususnya rumah yang sebelum ini kosong dan kita harap mereka dapat membanci sebahagian atau kesemua rumah-rumah yang dikosongkan ini,” katanya.
Mengenai kemungkinan rumah-rumah kosong itu didiami pendatang tanpa izin, Mohammad berkata pihaknya tidak menyangkal kemungkinan itu kerana mungkin ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai pengenalan diri dan meninggalkan rumah tersebut kerana khuatir akan ditangkap semasa proses bancian dijalankan.
Beliau berkata tiada tangkapan dibuat sepanjang tempoh operasi bancian itu yang bertujuan mengetahui antaranya jumlah rumah, penduduk, rumah keluarga, serta demografi penduduk warganegara dan bukan warganegara.
Mohammad turut menyangkal dakwaan kononnya Esscom merobohkan beberapa rumah di perkampungan air terbabit semasa melancarkan operasi bancian.
“Tidak ada satu rumahpun yang diroboh sepanjang proses bancian dijalankan…dakwaan ini tidak benar,” katanya.
Katanya operasi bancian itu berjalan dengan lancar dalam suasana yang tenang tanpa apa-apa gangguan dari segi keselamatan, manakala penduduk kampung termasuk pemimpin masyarakat di sini memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya. Beliau berkata antara cabaran utama operasi berkenaan ialah keadaan cuaca tidak menentu dan kemudahan infrastruktur yang tidak baik termasuk jambatan sempit atau jeti kecil yang tidak kukuh.
Mohammad berkata sejumlah 171 pembanci dan 258 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk anggota pasukan keselamatan terlibat operasi bancian itu.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak, termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Datuk Au Kam Wah, para pembanci, penduduk kampung, pegawai pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta anggota pertahanan dan keselamatan yang sama-sama bertungkus lumus menjayakan wawasan murni kerajaan itu.
Mohammad berkata hasil bancian itu akan diteliti oleh Esscom dan Jabatan Perangkaan sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan susulan, termasuk menentukan sama ada penduduk kampung air terbabit dipindahkan atau sebaliknya.
Sandakan merupakan satu daripada tiga daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang dipilih sebagai projek perintis program itu selepas Semporna dan Lahad Datu.
Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Sumber: Bernama
0 comments: