اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Salam Sejahtera dan Salam Hormat
Sempena hari memperingati kelahiran Nabi Besar Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam (SAW) pada hari ini 14 Januari 2014 atau 12 Rabiul Awal 1435, saya berkongsi dengan anda maklumat rencana yang berhubungan dengan "Selawat Nabi".
Kita telah maklum bahawa para ulama’ telah mengambil keputusan sepakat untuk menetapkan di mana hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah hukumnya "wajib" pada keseluruhannya, namun demikian ada yang tidak sepakat (ijma’) tentang di mana dan bilakah masa-masa ungkapan wajib berselawat dan kekerapan bilangannya. umpamanya:
#1. Kewajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
#2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
#3. Membaca Tasyahud kedua dan tahiyyat akhir.
#4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Mengapa Perlu Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya supaya berselawat. Sebagaimana kandungan firman-Nya
{هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا}
Mahfumnya "{Dialah yang berselawat kepadamu
(wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu),
supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang).
Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.}" [Al-Ahzab:43].
Menurut maksud ayat di atas, Allah SWT sendiri berselawat ke atas Nabi SAW, lalu diikuti pula oleh semua malaikat kemudian dianjurkan kepada semua muslimin juga untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Dengan itu bermakna membaca selawat ke atas Nabi SAW adalah sesuatu hal yang sangat diutamakan.
Apa Diantara Kelebihan Berselawat:
Di dalam kandungan sebuah hadith dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu (ra), beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»
Mahfumnya. “Sesiapa yang mengucapkan selawat
kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan
digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya
sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadith di atas menjelaskan keutamaan berselawat ke atas Nabi SAW selain anjuran membaca selawat sebanyak mungkin.
Sabda Nabi SAW:
(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)
Maksudnya: “Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. Sahih].
Membanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW adalah tandanya cinta seseorang muslim kepada Baginda SAW, ulama sepakat mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Diantara Selawat Paling Afdhal
Apabila berselawat ke atas Nabi SAW, iatu adalah ibadah yang sangat tinggi dan menjadi salah satu bukti kecintaan kepada Nabi SAW pada masa sama menjadi titik utama supaya mendapatkan syafaat Nabi SAW pada hari Akhirat kelak. Diperintahkan kepada semua umat Islam supaya berselawat ke atas Nabi SAW, kerana Allah SWT memfirmankan bahawa Dia sendiri berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana firman-Nya:
{إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}
Mahfumnya. "{Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad
s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya
serta ucapkanlah salam dengan penghormatan}." [Al-Ahzab: 56]
Ayat di atas tidak menperincikan mana satu bentuk nas selawat tertentu dibaca oleh seorang muslim apabila hendak berselawat keatas Nabi SAW.
Terdapat beberapa riwayat sebagai panduan dari beberapa orang sahabat Nabi SAW telah bertanya kepada Beginda SAW cara manakah atau kaifiyat berselawat ke atas Baginda SAW, lalu diajarkanlah kepada sahabat-sahabat Nabi SAW
Salah satunya adalah riwayat dalam Sahih Al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah ra. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanyakan soalan kepada Nabi SAW berhubung cara berselawat keatas Beginda SAW.
Baginda SAW menjawab dengan bersabda: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat ra. Maka dengan demikian itulah lafaz berselawat yang paling afdhal.
Lafaz Berselawat Paling Ringkas
Lafaz bacaan berselawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih] seperti berikut:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Ertinya: "Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya."
Selain itu terdapat riwayat-riwayat sahih yang lain tentang berselawat ke atas Nabi SAW, walau bagaimanapun sehubungan tema Maulidur-Rasul tahun ini "Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah" diharap betul-betul diambil ikhtibar oleh segenap muslim dan muslimat di negara ini supaya bersatu tanpa memikirkan fahaman politik dan asal keturunan apabila memperjuangkan akidah dan mempertahankan peinsip kepentingan Islam.
Sekali dengan lafas selawat,
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Saya mengucapkan setulus ikhlas
Salam Mulidur-Rasul 2014 M / 1435 H
Kepada semua Umat Nabi Muhammad SAW
Alawih D. Yusop
0 comments: