15 April 2016

Usah guna ‘orang tengah’ untuk mendapatkan permit kenderaan


Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP), Datuk Raime Unggi menegaskan kepada orang ramai jangan mengambil langkah mudah untuk mendapatkan permit yang sah.

Menurutnya, sejak dahulu banyak masyarakat kita yang ingin memohon permit menggunakan cara yang tidak betul dan menggunakan peranan orang ketiga hingga menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

“Apabila banyak permohonan yang ingin diproses, terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan permit secara mudah tanpa melalui saluran dan peraturan yang sepatutnya.

“Kes-kes seperti ini telah menyebabkan banyak permohonan terdahulu yang layak menjadi lambat untuk diproses dan berlaku lambakan permohonan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Dialog Bersama Pengusaha Bas, Teksi, Lori dan melakukan tinjauan di Terminal Bas Sandakan, pada Rabu.

Raime yang juga Ahli Parlimen Tenom, menasihatkan para pemohon permit agar jangan mudah percaya dengan taktik yang dilakukan oleh orang ketiga dalam mendapatkan permit dari pihak LPKP.

Tambahnya lagi, kepada pemilik permit jangan menyalahgunakan permit yang telah diperolehi dan jangan mudah untuk menukar hak milik permit kepada orang lain.

“Saya mendapati ada diantara pemilik permit menukar hak milik permit kepada orang lain yang tidak layak dan bukan daripada ahli keluarganya sendiri,” katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai dan masyarakat setempat agar sentiasa memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani kehadiran kereta-kereta sapu di sekitar bandaraya dan daerah-daerah yang lain.

“Saya turut mendapat aduan daripada orang ramai bahawa kehadiran kereta-kereta sapu ini telah menganggu sumber pendapatan para pegusaha bas dan teksi yang mempunyai permit disebabkan mereka menawarkan harga yang lebih murah tanpa mengikut kadar tambang yang sepatutnya bagi satu-satu jarak perjalanan,” tegasnya.


Sumber:  newsabahtimes

Related Posts:

0 comments: