30 November 2024

Fitnah Wanita Akhir Zaman




ADAKAH kecantikan wanita merupakan fitnah kepada lelaki?

Kecantikan merupakan lumrah bagi seorang wanita. Disebabkan kecantikan juga seseorang lelaki tertarik kepada wanita untuk menjadikannya isteri.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan." (Surah Ali-Imran ayat 14)

Allah SWT mencipta setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita, siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya.

Akan tetapi, Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhluk yang paling sempurna kerana dikurniakan akal fikiran.

Kerana kecantikan juga timbulnya pelbagai fitnah daripada wanita sehingga menyebabkan jatuhnya martabat wanita dalam kehidupan manusia.

Fitnah wanita adalah fitnah yang paling besar kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.

Baginda Nabi SAW bersabda: "Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Mengapakah wanita boleh terjatuh ke dalam fitnah ini?

Kehidupan manusia akhir zaman, khususnya wanita semakin lama semakin berubah sehingga mengenepikan syariat agama yang ditetapkan, bahkan lebih mengutamakan fesyen dan kecantikan yang ternyata telah keluar daripada adab dan tatasusila yang diterapkan oleh Islam.

Ramai wanita di luar sana mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup.

Perkara ini telah mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan pelbagai jenis fesyen terkini yang tampak jelas mutakhir ini.

Situasi ini dinyatakan oleh Baginda SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang-orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka berpakaian tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita-wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat-umat lain, nescaya wanita-wanita kamu akan melayani wanita-wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita-wanita bangsa-bangsa sebelum kamu." (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakakan pasti akan menarik mata (lelaki) untuk melihatnya.

Perkara ini dilihat menjadi tren terkini khususnya wanita yang bekerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing. 

Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam, maka tiada apa yang ingin digusarkan. 

Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas, perkara ini ditegah oleh Nabi SAW.

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita berpakaian tetapi terlanjang?

Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab al-halal wa al-haram fi al-Islam menjelaskan, wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebagaimana sabda Nabi SAW merujuk kepada pakaian yang dipakai wanita tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka.

Antara ciri-ciri pakaian tersebut ialah; nipis, ketat, singkat, menampakkan bahagian utama badan wanita dan lain-lain.

Ada pula pandangan yang mengatakan mereka yang mengenakan pakaian tetapi telanjang bermaksud tudung yang dipakai hanya dililit pada leher sahaja dan pakaian yang dikenakan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh wanita tersebut.

Disebabkan kelakuan tersebut, golongan wanita ini akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Nabi SAW menjelaskan beberapa sifat wanita antaranya berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan rambut umpama bonggol unta. 

Kenyataan Baginda Nabi SAW ini menggambarkan situasi yang sedang berlaku hari ini, seakan-akan Baginda dapat melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pada hari ini, banyak tempat yang digunakan untuk menghias dan melakukan fesyen pada rambut dengan pelbagai gaya dan bentuk.

Ada sesetengah salun kecantikan yang bercampur antara lelaki dan wanita.

Walaupun terdapat sekatan atau halangan yang dibuat, namun bagi pekerja lelaki, mereka masih lagi boleh melihat rambut yang merupakan aurat bagi wanita.

Apakah hukum menyambung rambut?

Tidak sekadar itu, ada wanita yang tidak berpuas hari dengan rambut kurniaan Allah SWT sehingga mereka berusaha untuk menyambung rambut (dinamakan sebagai 'al-wasl' dalam bahasa Arab) atau mengenakan rambut palsu bagi dilihat cantik oleh orang ramai khususnya golongan lelaki.

Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain agar rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) tersebut adalah rambut asal.

Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam.

Larangan tersebut berdasarkan hadis daripada Asma' binti Abi Bakr RA, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru nikah. Dia terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah aku menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya)." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, seorang gadis Ansar baru berkahwin.

Dia telah jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut tersebut (dengan rambut palsu).

Mereka kemudian bertanya kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda maksudnya: "Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak.

Apakah fitnah wanita ini menggambarkan wanita tiada kemuliaan dan martabat?

Fitnah wanita ini tidak menggambarkan wanita ini tiada kemuliaan atau sangat teruk sehingga menyebabkan lelaki terpesona dan terjatuh ke dalam fitnah wanita. Bahkan Islam sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah."‏ (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi menjelaskan maksud wanita solehah ini adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan hartanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Hendakkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Justeru, fitnah wanita ini adalah gambaran daripada Baginda Nabi SAW kepada manusia akhir zaman yang melihat kepada wanita dengan pandangan yang sangsi dan merosakkan. Dalam masa sama, gambaran ini merujuk kepada wanita yang tidak mempedulikan maruah diri sehingga menyebabkan terjatuhnya lelaki ke dalam fitnah wanita apabila memandangnya.

Bagaimanapun, sebaik-baik wanita ialah yang bertakwa dan menjaga maruah diri daripada terjatuh ke dalam jurang fitnah yang membinasakan.

Sumber: mymetro

0 comments: