22 Januari 2022

Lebih 4 juta belia 18 tahun didaftar automatik sebagai pemilih



Lebih 4 juta pengundi berusia 18 tahun telah didaftarkan sebagai pemilih secara automatik setakat 16 Jan lepas, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan anak muda, justeru golongan ini boleh mengundi menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun pada 2019.

“Saya difahamkan lebih 4 juta anak muda berumur 18 tahun didaftarkan secara automatik setakat 16 Jan.

“Saya berharap pertubuhan-pertubuhan belia seperti Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya proses demokrasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Kali ke-60, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Presiden MAYC Mohd Syahbuddin Hashim.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pertubuhan belia perlu terus berperanan sebagai pemangkin bersama-sama pemegang taruh institusi kerajaan untuk membangunkan anak muda negara.

“Kerajaan mahu lebih ramai anak muda yang proaktif memberikan pandangan-pandangan yang membina.

“Jangan jadikan pertubuhan belia sebagai pentas untuk berpolitik atau untuk kepentingan peribadi,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata platform ini perlu digunakan untuk memberikan input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama membangunkan kembali negara.


Sumber:  Malaysia Today

0 comments: