05 Julai 2020

Minyak Masak GOLD Ke Pasaran Antarabangsa




Kumpulan Sawit Kinabalu dan Intipati Minyak Sdn. Bhd. merancang untuk mengembangkan lagi pasaran produk minyak masak GOLD keluaran syarikat itu ke negara jiran.

Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Masri Pudin, berkata ia adalah hala tuju syarikat itu dan sebagai permulaan, antara negara jiran yang dikenal pasti untuk pasarannya adalah Filipina.

Katanya, syarikat itu juga mahu mengembangkan perniagaan secara agresif dengan meningkatkan jumlah pengeluaran minyak masak sehingga ke puluhan ribu tan sebulan, berbanding antara 3,000 hingga 4,000 tan sebulan ketika ini.

“Sawit Kinabalu sendiri, di kilang penapis kita mengeluarkan 230,000 hingga 300,000 tan minyak sawit setahun.

“Kita ingin menuju kepada ‘export market’ dan untuk permulaannya, yang terdekat adalah Filipina,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minyak Masak ‘Gold’ yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Industri Sibuga, di sini hari ini.

Masri berkata, penubuhan syarikat itu adalah bersesuaian dengan saranan Ketua Menteri yang mahu agar syarikat berkaitan kerajaan turut menceburkan dalam bidang perniagaan hiliran dan perindustrian.

Katanya, penubuhan syarikat itu adalah langkah pertama Kumpulan Sawit Kinabalu sebelum mengenal pasti bidang hiliran lain yang boleh diceburi, sekali gus memastikan perniagaan terus berjalan.

Beliau juga mempelawa mana-mana pemain tempatan yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan minyak sawit untuk datang kepada syarikat itu bagi mendapatkan bekalan minyak untuk perniagaan.


Sumber:  borneotoday

0 comments: