05 Julai 2020

1,357 ahli dari lapan cawangan WARISAN Libaran keluar parti




Seramai 1,357 ahli dari lapan cawangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) Parlimen Libaran bertindak keluar parti dengan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman.

Ketua Cawangan Batu 15 Satar Wahab berkata, hasil perbincangan dengan lapan cawangan telah mengambil ketetapan bagi keluar parti WARISAN selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan parti sekarang.

“Kami juga mengambil keputusan bagi meletakkan sebarang jawatan dalam parti dan cawangan serta-merta,” katanya dalam sidang media di Kampung Gum-Gum Batu 16, di sini.

Ekoran itu, Satar selaku jurucakap cawangan-cawangan itu memberitahu mereka kini menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ADUN Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman.

Cawangan-cawangan terbabit iaitu Cawangan Batu 15, Cawangan Batu 16, Cawangan Batu 17, Cawangan Sungai Tinduk, Cawangan Batu 19, Cawangan Sungai Monyet, Cawangan Ulu Dusun Batu 30 dan Cawangan Kampung Sinar Harapan Batu 24.

Satar berkata, cawangan-cawangan yang keluar ini difahamkan belum berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Beliau menegaskan tindakan mereka keluar parti ini dilakukan bukan sebab desak atau paksaan mana-mana pihak malahan tindakan ini adalah atas kerelaan sendiri.

Katanya, mereka keluar parti kerana hilang kepercayaan adalah atas sebab suara-suara ahli cawangan tidak didengar dan mereka merasakan dipinggirkan oleh para pemimpin parti.

Beliau mendakwa tidak ada mana-mana pemimpin masuk ke tempat mereka bagi melihat permasalahan yang penduduk hadapi.

“Kami hanya mengadu permasalahan kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.

Satar berkata, permasalahan penduduk seperti rumah yang usang telah diajukan kepada pihak MPKK tetapi sehingga hari ini tiada sebarang tindakan.

“Bantuan dari pihak kerajaan serta wakil rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga ramai yang tidak mendapat bantuan. Hanya segelintir sahaja yang menerima bantuan wakil rakyat. Kami tercicir,” katanya.

Beliau berkata, mereka belum berhasrat untuk sertai mana-mana parti dan hanya sebagai Bebas tetapi menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Musa.

“Belum ada sebarang perbincangan antara kami ketua-ketua cawangan bagi menyertai mana-mana parti buat masa ini,” katanya.

Satar hanya memberi bayangan bahawa mereka berkemungkinan akan menyertai parti BERSATU selepas mengadakan perbincangan.


Sumber:  utusanborneo

Related Posts:

0 comments: