03 Jun 2018

IMIGRESEN LANCAR OPS MEGA 3.0 GEMPUR PATI MULAI 1 JULAI 2018




Sebanyak 744,942 PATI dan 83,919 majikan telah mendaftar dengan Program Rehiring bagi tempoh 15 Feb 2016 hingga 28 Mei 2018



Jabatan Imigresen akan melaksanakan Op Mega 3.0 mulai 1 Julai ini untuk menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara selepas berakhirnya tempoh program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) pada 30 Jun ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya akan bertindak tegas mencari PATI dan majikan yang degil mendapatkan permit kerja sah di bawah Program Rehiring, yang bermula pada 15 Feb 2016 dan ditamatkan pada 30 Jun ini.

Beliau berkata jabatan itu juga sentiasa mempergiatkan operasi membanteras lambakan PATI serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara melalui Op Mega 3.0 itu. “Kita tidak tahu berapa jumlah PATI yang ada di luar sana. Tetapi, Jabatan Imigresen tetap tegas dalam menguatkuasakan undang-undang. Kita akan cari semua warga asing bergelar PATI yang berlegar di negara ini.

“Bagi majikan yang masih degil dan melindungi, menggaji dan membenarkan PATI tinggal di dalam premis mereka, ini merupakan kesalahan berat. Mereka boleh dikenakan tindakan denda maksima RM50,000, penjara tidak melebihi 5 tahun dan sebatan tidak lebihi 6 sebatan,” katanya dalam sidang media khas berhubung Program Rehiring di sini, hari ini.

Menurutnya sebanyak 744,942 PATI dan 83,919 majikan telah mendaftar dengan Program Rehiring bagi tempoh 15 Feb 2016 hingga 28 Mei 2018 melalui tiga vendor yang dilantik oleh kerajaan.

Daripada jumlah itu, seramai 415,791 sudah menghadirkan diri ke Jabatan Imigresen untuk proses pemutihan dan hanya 307,557 orang yang layak melalui proses pemutihan tertakluk kepada keputusan pemeriksaan kesihatan oleh Fomema.

“Daripada 307,557 PATI yang layak itu, setakat ini hanya 110,489 PATI berjaya diputih dan layak menerima Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya sambil menggesa majikan supaya menyegerakan proses pemutihan PATI yang layak.

Pada masa sama, beliau meminta majikan bagi PATI yang tidak layak supaya tampil di pejabat Imigresen untuk melakukan proses biometrik.

Mustafar berkata seramai 108,234 PATI yang tidak layak itu dimasukkan ke program 3+1 untuk dihantar pulang ke negara asal oleh majikan dan vendor sebelum 30 Ogos tahun ini.

Menurutnya PATI berkenaan tidak layak kerana sesetengah majikan hanya memerlukan 500 pekerja tetapi mempunyai 1,000 pekerja yang melebihi kuota ditetapkan.

Jabatan Imigresen bimbang dengan kemungkinan PATI yang berlebihan itu ‘dijual atau digelapkan’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, jelasnya.

Sejak 2014 hingga Mei 2018, Jabatan Imigresen menangkap 213,709 PATI dan 4,540 majikan dan daripada jumlah itu, seramai 19,328 PATIdan 659 majikan telah dihadapkan ke mahkamah.


Sumber:  Bernama


0 comments: