25 Disember 2016

Program komuniti Polis Bersama Masyarakat kukuh perpaduan




Dalam usaha mengerat tali silaturahim dan kerjasama yang lebih padu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat setempat, IPD Sandakan mengadakan satu Program Komuniti Polis Bersama Masyarakat di Masjid Nurussholihin Kampung Bokara, dekat sini, kelmarin.

Program mendekati masyarakat ini mengukuhkan lagi hubungan sedia ada yang terjalin terutama apabila warga polis dari IPD berkenaan turut mengimarahkan masjid dengan bersembahyang solat Jumaat bersama-sama penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Sandakan yang baru, ACP Mohd Azhar Hamin menyampaikan sendiri khutbah Jumaat sekaligus mengeratkan kerjasama mantap antara pihak polis dan masyarakat di perkampungan terawal di bandar ini.

Khutbah disampaikan oleh beliau adalah bertajuk ‘Mahalnya Sebuah Keamanan’ yang memetik keamanan adalah satu nikmat amat berharga dan diperlukan setiap manusia.

Menurutnya, Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk ummah berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya iman kita kepadaNya semakin bertambah.

Beliau berkata, keamanan bererti bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian dan alhamdulillah negara kira berada dalam suasana aman dan damai.

Katanya, dengan keamanan dan keselamatan terus terpelihara, keharmonian terbina dan paling utama Islam pasti akan terus dilindungi.

“Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara,” jelasnya semasa menyampaikan khutbah di hadapan para jemaah di Masjid Nurussholihin.

Dalam pada itu, Azhar juga turut memaklumkan bahawa pihak polis diberikan tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam terjamin terutama dari sudut jenayah.

Menurut beliau, jenayah itu sendiri mengandungi pelbagai cabang yang paling diberi fokus selain daripada penyalahgunaan dadah juga merupakan salah satu elemen jenayah.

Tambahnya, bagi daerah Sandakan iaitu kategori jenayah kekerasan dan harta benda menunjukkan penurunan dan bagi jenayah narkotik pelbagai tangkapan serta rampasan telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Hadirin sekalian, pihak polis akan sentiasa memastikan kejayaan ini berterusan. Bagi menjayakan misi ini, anggota masyarakat adalah dialu-alukan untuk bersama-sama dengan pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah dalam apa jua bentuk.

“Dengan itu, pihak polis mengajak kepada semua tanpa ragu-ragu untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis … pemberi maklumat akan dilindungi dan identiti akan dirahsiakan,” ujarnya dalam khutbah itu.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Bokara, Haji Mohamad Abdul Salam; Pengerusi Masjid Nurussholihin, Haji Mohd Rizki Haji Aliong dan beberapa pegawai polis di IPD Sandakan serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Program Komuniti Polis Bersama Masyarakat ini adalah satu usaha pihak polis untuk mendekati masyarakat sekali gus memberi keyakinan tentang kehadiran polis bersama masyarakat dalam usaha mencegah jenayah.

Difahamkan bahawa program yang dilaksanakan IPD Sandakan di Masjid Nurussholihin adalah yang pertama dan akan diteruskan ke masjid-masjid di perkampungan lain.


Sumber:  newsabahtimes


0 comments: