17 November 2016

Iktibar kejatuhan kerajaan Andalus


Gambar hiasan


ISLAM mula bertapak di bumi Andalus (Sepanyol) pada zaman Khalifah al-Walid ibn Abdul Malik yang merupakan Khalifah Bani Umayyah berpusat di Damsyik.

Beliau menakluki Andalus melalui Gabenornya di Afrika Utara iaitu Musa bin Nusayr. Sejarah turut mencatatkan tentang kisah legenda panglima perang Musa bernama Tariq bin Ziyad yang mendarat di selatan Andalus, kemudian digelar sebagai Jabal Tariq (Gibraltar) pada tahun 92 Hijrah.

Bersama 12,000 tentera Islam berbangsa Arab dan Barbar, Tariq menggempur dengan beraninya pertahanan Byzantine, pimpinan Raja Roderick yang berkekuatan seramai 100,000 tentera dalam pertempuran di Wadi Lakkah selama 8 hari pada Ramadan tahun 92 Hijrah yang berakhir dengan kemenangan tentera Islam.

Kejayaan itu membolehkan tentera Islam mara menawan Qurtubah (Cordova), Archidona dan Elvira, Guadalajara, Toledo, Malaga dan Murcia hingga merapati ke sempadan Perancis.

Kejayaan Musa dan Tariq memberi kesan besar kepada pengukuhan Kerajaan Bani Umayyah di Andalus serta kelangsungan kuasa umat Islam di Eropah selama 781 tahun. Andalus adalah kawasan yang terdiri dari dua negara iaitu Sepanyol dan Portugal.

Selain ketokohan Musa dan Tariq, kejayaan tentera Islam disebabkan faktor dalaman kelemahan Kerajaan Byzantine seperti perebutan kuasa, masalah ekonomi, penindasan di samping imej yang baik serta pentadbiran yang sistematik Kerajaan Bani Umayyah di Afrika Utara.

Selama 781 tahun memerintah, Kerajaan Islam di Andalus mengalami sekurang-kurangnya 4 peringkat transformasi politik iaitu pertama zaman pemerintahan Gabenor Bani Umayyah, kedua zaman pemerintahan Imarah iaitu selepas kejatuhan Kerajaan Bani Umayyah di Damsyik, ketiga zaman pemerintahan Khalifah yang mencapai tahap ketamadunan yang tinggi dan setaraf dengan kehebatan Kerajaan Abbasiyyah di Baghdad dan yang keempat zaman perpecahan apabila kawasan Andalus berpecah kepada 30 negeri kecil yang dikenali sebagai Muluk Tawaif (Raja-Raja Puak).

Kehebatan tamadun Andalus terbukti apabila Universiti Cordova muncul sebagai pusat perkembangan ilmu yang hebat. Kerajaan memberikan dukungan yang kuat kepada kegiatan keilmuan. Perpustakaan Diraja Cordova menyimpan hampir 600,000 naskhah koleksi buku dengan seramai 500 orang yang bertugas sebagai penyalin buku.

Namun, perubahan politik di Andalus dari khalifah berkuasa penuh kepada perpecahan Muluk Tawaif yang berasaskan suku-suku puak menyebabkan Andalus kehilangan punca kedamaian dan kesejahteraan.

Kehilangan kuasa politik menyebabkan hilangnya perpaduan dan penyatuan. Umat Islam di Andalus mulai berpecah kepada tiga puak utama iaitu Barbar, Saqalibah dan Arab. Puak Barbar menguasai selatan Andalus, Saqalibah menguasai timur Andalus dan Arab berkuasa di tengah Andalus.

Kerajaan-kerajaan kecil Muluk Tawaif yang wujud seperti Bani Hammudiyah, Bani Hud, Abbadiyah, Ziriyah, Murabitun, Muwahiddun dan Nasriyah adalah contoh perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Andalus.

Persaingan merebut kuasa berlaku dengan hebat dalam kalangan kerajaan-kerajaan tersebut. Perebutan kuasa sampai pada tahap mereka sanggup jalin hubungan dan ikatan sulit dengan pihak Kristian untuk menyerang musuh mereka yang juga beragama Islam.

Akibatnya pihak Kristian menyedari kelemahan umat Islam dan mengambil kesempatan atas kelemahan dan perpecahan dengan merancang pelbagai helah politik dan ketenteraan untuk mengusir umat Islam dari bumi Andalus.

Pihak Kristian dari Castile, Aragon dan Navarre bersatu untuk mengalahkan Muwahiddun pada tahun 609 Hijrah, Cordova pula jatuh pada tahun 634 Hijrah. Seville jatuh pada tahun 646 Hijrah. Manakala Granada menjadi kota terakhir Andalus yang jatuh pada tahun 897 Hijrah.

Hakikatnya kerajaan Islam terakhir di Andalus iaitu Nasriyah merupakan kerajaan paling kecil yang hanya berkuasa di Granada dan membina istana di bukit al-Hambra’. Kedudukan Kerajaan Nasriyah tumbang apabila Ferdinand dan Ratu Isabella berkahwin pada tahun 897 Hijrah.

Maka bermulalah saat di mana umat Islam ditindas semahunya, dihapuskan ketamadunan yang dibina selama lebih 700 tahun, dipijak maruah mereka dan dipaksa menukar agama kepada Kristian.

Episod sedih ini berlaku terhadap umat Islam di Andalus kerana mereka berpecah dan sanggup bersekongkol dengan musuh Islam demi kepentingan jangka pendek. Mereka hanya mementingkan puak masing-masing dan meletakkan kepentingan peribadi melampaui maslahat umat.

Akhirnya satu harga yang sangat mahal terpaksa dibayar bagi merelakan kehancuran sebuah tamadun yang sangat bernilai.

Apa yang berlaku di Andalus adalah satu proses sejarah yang menuntut kita mengambil iktibar dari kejatuhannya supaya kita tidak mengulanginya lagi pada hari ini dalam konteks dan realiti Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan.


Suber:  SinarHarian - Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

0 comments: