07 Ogos 2016

Pusat Pembelajaran Bergerak Perkasa JKKK




Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan lapisan kerajaan yang paling hampir dengan masyarakat dan akar umbi, namun keberadaannya sering diperlekeh sehingga terdapat sitkom komedi khas mengenainya diwujudkan di kaca televisyen.

Perkara tersebut seolah-olah suatu yang sinonim dengan masyarakat kampung, bermula daripada jawatan pengerusi sehinggalah kepada ahli jawatankuasanya.

Menyedari persepsi tersebut perlu diperbetul serta imej JKKK perlu diperbaiki seiring dengan kemajuan negara, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menubuhkan Pusat Pembelajaran Bergerak (Mobile Learning).

Pusat tersebut merupakan antara inisiatif KKLW menerusi Institut Kemajuan Desa (Infra) bagi memberikan kemudahan ahli JKKK untuk menghadiri pelbagai kursus dan juga untuk memudahkan hebahan serta penyebaran maklumat yang lebih tepat mengenai kerajaan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, pusat bergerak tersebut diwujudkan untuk memperbanyak pendampingan bagi memudah cara dan mendekati rakyat serta menawarkan perkhidmatan yang lebih berkesan.

“Sebelum ini jika terdapat kursus khas atau apa jua mesyuarat golongan JKKK ini sukar untuk menghadirinya atas kekangan masa serta kos.

“Hal ini kerana rata-rata mereka menjawat jawatan tersebut secara suka rela dan itu bukan perkerjaan utama mereka,” katanya ketika di temui di iabu negara baru-baru ini.

Jelasnya lagi, setiap kali kursus atau ada hebahan yang hendak dilakukan maklumat dan kehadiran kursus adalah tidak memberansangkan akibat pelbagai faktor.

“Kini daripada kita memanggil mereka ke tempat kursus yang biasanya diadakan di ibu negara, kali ini kita turun kepada mereka di segenap pelusuk kampung,” katanya.

Inisiatif menubuhkan pusat bergerak tersebut adalah selaras dengan Pelan Transformasi Kementerian yang telah dilancarkan pada 20 November 2015.

“KKLW akan memperbanyak aktiviti dan perkhidmatan yang lebih dekat kepada rakyat seperti membawa kepakaran dan melaksanakan latihan di kampung-kampung menggunakan Pusat Pembelajaran Bergerak ini,” katanya.

Inisiatif tersebut turut menggariskan beberapa objektif lain iaitu mewujudkan satu kaedah pembelajaran yang lebih meluas capaiannya melalui penggunaan bas sebagai medium pengganti dewan masyarakat.

Seterusnya merealisasikan pembelajaran in situ yang diintegrasikan dengan sumber-sumber sedia ada di sesuatu kawasan.

Selain itu pusat tersebut juga menyebar luas pembelajaran dan latihan bukan formal sehingga ke kawasan desa melalui pergerakan medium bas dan mengaplikasikan pendekatan learning on wheel.

Pusat bergerak itu juga dilihat mampu mengatasi masalah kemudahan dewan komuniti atau premis pembelajaran di peringkat akar umbi dengan kemudahan yang selesa, interaktif dan mudah alih.

Terakhir, pusat bergerak tersebut turut membantu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, maklumat dan latihan kepada golongan sasar dengan lebih cepat, sistematik dan efektif.

Secara terperincinya, pusat bergerak yang merupakan sebuah bas tersebut berfungsi sebagai kelas atau bilik darjah kepada peserta kursus.

Pusat tersebut menyediakan suasana pembelajaran yang selesa dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pembelajaran yang kondusif.

Menerusi inisiatif tersebut, KKLW dapat mengatasi masalah tempat untuk melaksanakan kursus di kawasan desa yang kurang mempunyai kemudahan seperti dewan orang ramai.

Dalam pada itu, inisiatif tersebut dapat meningkatkan sistem penyampaian maklumat kepada masyarakat luar bandar.

Kaedah itu juga membolehkan masyarakat mengikuti kursus anjuran agensi lain bawah KKLW mengikut kesesuaian masa mereka dan tidak lagi perlu meninggalkan pekerjaan dan keluarga di kampung.

“Kaedah ini akan menarik minat masyarakat setempat untuk mengikuti pelbagai program latihan yang disediakan kerana kemudahan tersebut dibawa ke kampung mereka.

“Pusat Pembelajaran Bergerak ini juga boleh disesuaikan untuk berfungsi sebagai pusat pameran,” kata Ismail Sabri.

Sebarang informasi yang ingin disampaikan kepada penduduk setempat boleh menggunakan medium yang sama.

Menerusinya, masyarakat setempat akan memperoleh maklumat berkaitan dengan dasar, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi khususnya agensi bawah kementerian ini.

Penyaluran maklumat juga dapat disampaikan secara dalam talian (online) kerana pusat pembelajaran ini juga dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar yang dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Sesuai dengan iltizam untuk merakyatkan KKLW, pusat pembelajaran ini boleh digunakan sebagai bilik perbincangan ketika melaksanakan program turun padang dan sesi bersama rakyat.

Bas yang digunakan menyediakan ruang untuk perbincangan santai bagi mendengar dan menyelesaikan masalah atau bertukar pandangan dalam pelbagai topik berkaitan kepentingan penduduk setempat.

Justeru, sesi seperti ini dapat diadakan di mana sahaja tanpa memerlukan ruang atau premis khusus yang mungkin tidak terdapat di semua tempat.

Antara sasaran bagi program-program kendalian KKLW adalah semua masyarakat luar bandar.

Sekiranya berlaku sesuatu bencana, penduduk kampung akan dibantu dengan penyediaan barang keperluan harian serta kaunseling dan pemulihan.

Aktiviti tersebut dijalankan secara kerjasama dengan agensi lain terutamanya anggota keselamatan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak-pihak lain yang terlibat.

Bagi kumpulan sasaran yang lain, KKLW juga menyediakan program latihan berkaitan pendidikan, perubahan sikap, motivasi, peningkatan pendapatan serta aktiviti pendampingan untuk mendekatkan rakyat dengan kerajaan.

Bagi setiap perjalanan, Pusat Pembelajaran Bergerak ini akan meliputi beberapa daerah dalam sesebuah negeri untuk melaksanakan sekurang-kurangnya enam siri kursus (dua hingga tiga hari setiap siri) pada setiap bulan.

Selain program bawah Pusat Pembelajaran Bergerak, Institut Kemajuan Desa (Infra) turut melaksanakan kursus berjadual yang lain di seluruh negara.

Program pertama bermula Ogos

Dalam pada itu program akan bermula pada minggu kedua bulan Ogos dan negeri yang dipilih sebagai destinasi pertama adalah Pahang.

Pelaksanaan program akan bermula di daerah Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera dan Pekan dan minggu berikutnya akan ke daerah lain di Pahang dan seterusnya akan bergerak untuk meliputi negeri-negeri yang lain.

Sebagai permulaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menyediakan dua buah bas untuk tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun, untuk tujuan pelaksanaan program pada bulan Ogos hanya sebuah bas akan beroperasi iaitu bas sedia ada Institut Kemajuan Desa (Infra) manakala sebuah bas lagi yang disumbangkan oleh Mara Liner masih dalam proses pengubahsuaian.

Ditanya bagaimanakah mekanisma kementerian dalam memperluas program tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKLW mempunyai cadangan untuk memperluas program tersebut ke seluruh negara secara sinergi terutama dengan agensi-agensi di KKLW sendiri.

Antara contoh adalah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Felcra Berhad (Felcra), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Selain itu, KKLW turut mengalu-alukan kerjasama pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk memastikan kumpulan sasaran dapat diliputi semaksimum mungkin di seluruh negara.

Bilangan bas akan ditambah untuk menyegerakan pelaksanaan program di Sabah dan Sarawak.

Untuk memastikan program tersebut berjalan lancar, KKLW telah memperuntukkan kos sebanyak RM600,000 melibatkan pengubahsuaian bas dan juga penganjuran program latihan kepada kumpulan sasaran yang telah dinyatakan.

KKLW juga akan meningkatkan jumlah peruntukan bagi tujuan tersebut pada tahun-tahun berikutnya untuk memastikan lebih banyak kursus dapat dilaksanakan dengan liputan lokasi dan kumpulan sasaran yang lebih menyeluruh.

Antara manfaat dan faedah lain yang bakal diperolehi menerusi program tersebut adalah latihan secara terus dan in situ.

Ini bagi memudah serta meminimumkan pergerakan kumpulan sasaran ke tempat berkursus.

Seterusnya memudahkan hebahan maklumat dan input berkaitan dasar dan perkhidmatan kerajaan secara fizikal dan maya.

Terakhir merupakan platform pertemuan antara pucuk pimpinan kementerian bersama agensi dengan rakyat untuk penyampaian atau perkongsian maklumat dua hala.

“Dengan adanya inisiatif mengetengahkan pusat pembelajaran bergerak ini, ia diharapkan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat luar bandar.

“Diharapkan program ini juga dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan rakyat dari semua peringkat umur termasuklah pemimpin masyarakat setempat, belia, usahawan desa serta pelajar sekolah di kawasan luar bandar.

“Selain itu, dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan dapat menyalurkan maklumat dan dasar kerajaan secara terus dari sumber yang sah,” ujarnya.

Selain itu, maklumat dan program kementerian juga dapat dimaklumkan kepada masyarakat luar bandar bagi mengetepikan dakyah serta informasi kurang tepat yang mampu menjejaskan imej kerajaan.

“Semoga usaha baik ini dapat memupuk dan menyemarakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat negara kita khususnya di luar bandar.

“Kita perlu menyediakan rakyat yang berilmu dan mempunyai pelbagai kemahiran untuk mendepani era negara maju yang bakal ditempuhi menjelang 2020,” katanya.


Sumber:  Utusan Malaysia



0 comments: