14 Disember 2015

Pemimpin masyarakat setempat dinasihatkan tidak sekongkol serta lindungi PATI


Pemimpin masyarakat setempat terutamanya Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau JKKK dinasihatkan agar memastikan tiada dalam kalangan mereka yang bersekongkol serta melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk mengaut keuntungan dan kepentingan peribadi.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Pengarah Perisikan ESSCOM, Asisten Komisioner Hashim Justin semasa dalam Forum Malaysiaku Berdaulat anjuran bersama SEEDS dan Ahli Parlimen Belia Malaysia yang diadakan di Dewan Perpustakaan Wilayah Sandakan, dekat sini, pada Sabtu.

Beliau yang merupakan ahli panel sebagai mewakili agensi kerajaan menyarankan masyarakat memberikan kerjasama padu dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan berikutan wujud orang dalam yang bersekongkol dalam kes seumpamanya.

Justeru beliau tidak menolak kes penculikan dua warga tempatan di sebuah restoran makanan laut di bandar ini pada 14 Mei lepas dipercayai didalangi ‘orang dalam’ yang telah bersekongkol untuk memberikan maklumat mengenai sasaran yang bermutu tinggi dan menjadi pemandu arah bot kumpulan terbabit.

Serentak itu, pemimpin masyarakat khususnya Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi JKKK agar memastikan tiada dalam kalangan mereka yang bersekongkol atau melindungi PATI untuk mengaut keuntungan dan kepentingan peribadi.

“Kita tidak seharusnya menggadaikan kedaulatan negara. Ketua-ketua kampung dan Pengerusi-pengerusi JKKK yang menjadi benteng utama kita di peringkat akar umbi semestinya tahu siapa orang baharu atau orang asing di kampung mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel yang mewakili panel ahli akademik iaitu Rizal Zamani Idris menerangkan sekiranya kerajaan Filipina membawa kes tuntutan ke atas Sabah ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) peluang mereka adalah tipis.

Menurut beliau, pertamanya undang-undang antarabangsa yang ditadbir oleh ICJ menolak tuntutan kedaulatan berdasarkan semata-mata kepada hak milik bersejarah (historic title), selepas referendum atau pungutan suara dilakukan:

Undang-undang antarabangsa moden tidak mengiktiraf kemandirian hak kedaulatan yang berdasarkan semata-mata kepada hak milik bersejarah; tidak, dalam apa juga peristiwa, selepas penggunaan hak penentuan diri (self-determination) dilakukan mengikut keperluan undang-undang antarabangsa, bona fide yang mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh badan-badan politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kedua, kerana waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sehingga ke hari ini. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased) kepada British North Borneo Company.

Dalam pada itu, ahli panel yang mewakili panel ahli politik iaitu Jailani Agak selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beluran menerangkan salah satu punca

kebanjiran pendatang asing ke Sabah samada secara sah mahu pun tidak adalah kebergantungan kebanyakan sektor di negeri ini terhadap tenaga asing.

Beliau berkata, orang tempatan tidak cukup lasak dan malas untuk bekerja di sektor perladangan dan pembinaan yang cukup memenatkan selain itu banyak syarikat memilih untuk mengupah pekerja asing kerana gaji yang lebih rendah berbanding orang tempatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Belia Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Beluran selaku Pengarah Program Mohd Fazli Zikiri menegaskan kepentingan kerjasama seluruh lapisan masyarakat bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan khususnya ESSCOM bagi memastikan usaha memerangi dan mencegah kegiatan jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Dalam ucapan alu-aluannya beliau berkata selain daripada ancaman keselamatan, kita juga berdepan dengan ancaman kuasa persepsi.

Katanya, persepsi negatif ini boleh diibaratkan sebagai satu penyakit yang sekiranya dibiarkan akan menjadi barah dan boleh membawa maut.

Fazli adalah merupakan salah seorang Felo SEEDS dan selaku moderator dalam forum yang julung kalinya diadakan ini.

Terdahulu, Dr Arnold Puyok menerangkan peranan NGO SEEDS sebagai badan pemikir bebas yang ditubuhkan untuk membina sebuah masyarakat sederhana (moderate), moden dan progresif.

“SEEDS diketuai oleh Datuk Badil Zaman Fazul Rahman dan dianggotai oleh pemimpin muda Sabah yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat serta profesion seperti pensyarah, peguam, jurutera, doktor gigi dan lain-lain lagi.

“Kita harap program sebegini akan dapat melibatkan masyarakat tempatan untuk memberikan idea-idea mengenai cara atau pun kaedah-kaedah bagaimana menangani masalah keselamatan di negeri Sabah.

“Sabah ini milik kita orang Sabah,” katanya dalam ucapan perasmian mewakili Pengerusi SEEDS, Datuk Haji Badil Zaman.


Sumber:  newsabahtimes

0 comments: