Sebuah jawatankuasa bersama antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan kerajaan negeri Sabah akan diwujudkan bagi melicinkan lagi pelaksanaan pelbagai projek kementerian itu di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya membincangkan perkara itu dengan kerajaan negeri Sabah dan ia dijangka mula berkuat kuasa awal tahun depan.
"Dengan adanya jawatankuasa itu, setiap projek yang bakal dilaksanakan di Sabah akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
"Jawatankuasa itu juga akan memantau dan menyelesaikan segala isu yang berbangkit terhadap sesuatu projek yang dilaksanakan kelak," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Zon Tawau dan Sandakan, di sini, hari ini.
Ismail Sabfri berkata, projek yang mendesak menjadi keutamaan untuk dibincangkan dalam jawatankuasa itu kelak.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan beliau berkata ia bertujuan untuk memberi semangat bagi meningkatkan iltizam semua anggota JKKK dan JKDB dalam mengalas amanah serta tanggungjawab memajukan kawasan luar bandar di Sabah.
"Objektif penganjuran majlis ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan peranan dan tanggungjawab JKKK dan JKDB dalam membangunkan desa dan masyarakat dengan kemahiran merancang projek pembangunan kampung," katanya.
Ismail Sabri berkata, JKKK dan JKDB adalah entiti penting dan pemimpin barisan hadapan di peringkat mikro yang menjadi asas kepada pembangunan negara.
"Oleh itu, amat penting untuk terus memperkasakan JKKK dan JKDB agar ia kekal relevan mengikut peredaran zaman," katanya.
Sumber bernama
0 comments: