12 November 2015

JKKK, JKDB kukuhkan pertahanan kerjaan

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan terus diperkasakan kerana ia adalah entiti penting dan kepimpinan hadapan di peringkat pa­ling mikro yang menjadi asas dan tunjang kepada pembangunan luar bandar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Mereka adalah suara rasmi kepada kerajaan. Selain menyampaikan dasar dan maklumat mengenai program pembangunan, mereka perlu menjawab segala tohmahan, Dalam kerajaan, kita sebagai sebuah piramid dan JKKK berada di bawah (asas piramid). Kalau asas ini dirobohkan bermakna ke­seluruhan piramid itu juga akan roboh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama JKKK dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Zon Pantai Barat Selatan Sabah di sini yang dihadiri 614 ahli JKKK/JKDB zon itu.

Selaku pemimpin di peringkat akar umbi, JKKK bertanggungjawab memberi penerangan me­ngenai dasar dan program kerajaan; dan pada masa sama mereka lebih mengetahui keperluan dan masalah di peringkat kampung, katanya.

Yang hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Rahim Abu Bakar dan Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) KKLW, Mohd. Jamalludin Kasbi.

Sambil tidak menafikan peranan penting barisan kepimpinan kumpulan tersebut bagi membentuk pembangunan lebih baik di kawasan masing-masing, beliau berkata, kerajaan berterima kasih kepada mereka kerana sudi menjadi mata, telinga dan lidah rasmi kerajaan apabila secara proaktif menyampaikan maklumat penting berhubung dasar dan matlamat kepada orang ramai.

Semalam, Ismail Sabri telah menemui 718 ahli JKKK/JKDB Zon Sandakan dan Tawau dalam majlis yang serupa di Tawau yang menurutnya majlis serupa itu membolehkan suntikan semangat diberikan bagi meningkatkan iltizam semua anggota JKKK/JKDB dalam memikul amanah serta tanggungjawab memajukan kawasan luar bandar.

“Antara objektif majlis ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan peranan dan tanggungjawab JKKK/JKDB da­lam membangunkan desa dan masyarakat dengan kemahiran me­rancang projek pembangunan kampung.

“Oleh itu, amat penting untuk terus memperkasakan JKKK/JKDB agar ia kekal relevan kepada pembangunan luar bandar, kata beliau sambil menambah mereka juga bertanggungjawab memantau pelaksanaan sesuatu projek untuk tindakan kerajaan.

Semasa berucap pada majlis itu, beliau menjelaskan bagi memperkukuhkan fungsi serta peranan JKKK dan JKDB dalam membangunkan kawasan masing-masing, beliau berharap agar kumpulan pemimpin itu dapat menyediakan profil terperinci kawasan bagi rujukan pihak kementerian.

Menurutnya, menerusi profil terperinci yang melibatkan kawasan pengurusan masing-masing, pihak kementerian akan dapat melihat keperluan yang perlu disediakan selain membantu kerajaan dalam mendaftarkan pengundi baharu di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu bahawa penekanan akan terus diberikan bagi penyediaan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan ia termasuklah projek jalan luar bandar, bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik luar bandar.

Matlamat kementerian adalah untuk memastikan semua penempatan di luar bandar di negeri ini mempunyai hubungan iaitu dengan memastikan ada jalan perhubungan dengan bandar sekalipun de­ngan jalan asas sama ada jalan bertar, jalan tanah liat atau jalan balak.


Sumber: utusanmalaysia


0 comments: