23 November 2015

Datuk Juslie Ajirol: Pengurusan Koperasi dengan baik penting


Pengerusi Koperasi Sibuga Jaya Sandakan Berhad
Alawih Dantalmura menerima Sijil Pendaftaran
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie KK Ajirol berkata pengurusan koperasi dengan baik sama ada dalam perniagaan mahu pun dalam pentadbirannya penting.

Beliau berkata, adalah tidak mustahil jika koperasi berkenaan yang diurus dengan sebaiknya dengan pematuhan berlandaskan kepada undang-undang koperasi sedia ada, ia juga akan mampu membantu meningkatkan taraf hidup anggotanya mahupun masyarakat sekeliling.

Katanya, aspek pematuhan kepada perundangan koperasi juga perlu ditekankan kerana salah satu asas bagi kejayaan sesebuah koperasi itu adalah pematuhan kehendak perundangan iaitu Akta Koperasi 1993, Peraturan-Peraturan Koperasi 2010, Undang-Undang Kecil Koperasi, Garis-Garis Panduan dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SKM dari masa ke masa.

Di samping itu, ujarnya, koperasi yang mampu menjalankan perniagaan berskala besar juga sekali gus dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai selain menyediakan perkhidmatan dan pulangan kewangan kepada anggotanya.

“Dalam menubuhkan koperasi, ilmu berkenaan juga penting agar hala tuju koperasi yang ditubuhkan berjaya dan anggota- anggotanya juga aktif dan berjaya.

“Jika koperasi yang ditubuhkan tidak aktif, akhirnya ahli-ahli hilang minat dan akan meninggalkan koperasi mereka dan membawa kepada kegagalan dalam koperasi itu sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pembudayaan Koperasi Komuniti Peringkat Parlimen Libaran di Dewan Kampung Batu Putih, Sandakan, pada Sabtu lalu.

Antara objektif program itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat setempat khususnya kepada pemimpin- pemimpin berkaitan dengan peranan dan usaha melalui

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mentransformasi dan membestarikan koperasi agar menjadi sebuah entiti pembangunan sosio-ekonomi yang leboh teratur, cekap dan berkesan. Program berkenaan juga merapatkan lagi hubungan jabatan dan agensi berkaitan termasuk SKM dengan semua anggota kperasi dan masyarakat setempat.

Juslie berkata, SKM juga ada memberi khidmat nasihat dan memantau perjalanan koperasi. Tetapi anggota lembaga koperasi serta anggota koperasi itu sendiri yang menentukan hala tuju dan kejayaan koperasi masing-masing berlandaskan pematuhan undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berharap program yang dianjurkan itu memberi informasi kepada hadirin berkenaan pembudayaan koperasi komuniti.


Sumber:  newsabahtimes

0 comments: