29 Ogos 2015

Sabah mahu pegang kuasa autonomi


Bukan demi kepentingan kerajaan tetapi mahu manfaat lebih besar dan segera dapat dirasai rakyat di luar bandar apabila pegangan kuasa autonomi berhubung pengendalian projek diberikan kepada kerajaan negeri.

Demikian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berhubung permintaan kerajaan negeri terhadap pegangan kuasa untuk mengawal selia dan mengendalikan projek pembangunan luar bandar di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri mahu lebih banyak kuasa kawalan dalam pengendalian projek pembangunan luar bandar di Sabah terutama memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar di kawasan luar bandar serta dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan. 

Jelasnya, semua ini demi kepentingan masyarakat luar bandar dan pedalaman dalam merasai nikmat pembangunan yang sama rata sama seperti yang dirasai oleh penduduk di bandar, seterusnya mengelak berlakunya jurang pembangunan yang luas antara dua kelompok masyarakat tersebut. 

“Kerajaan negeri mahu kuasa autonomi bagi mengendalikan projek pembangunan luar bandar di negeri ini termasuk dalam aspek perancangan dan pengurusan dana bagi membolehkan sesebuah projek itu dapat dilakukan dalam tempoh masa yang diberikan atau siap lebih cepat. 

“Semua ini demi kepentingan rakyat. Kerajaan negeri mahu pembangunan menyeluruh dapat dilaksanakan di negeri ini termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus merasai nikmat pembangunan yang dikecapi oleh negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Musa berkata, kerajaan negeri sebelum ini ada membuat permintaan agar kerajaan pusat memberi kuasa kawalan yang lebih besar dalam pelaksanaan projek di kawasan luar bandar seperti pembinaan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih serta bantuan isi rumah kepada golongan sasar. 

Menurutnya, banyak agensi Kerajaan Persekutuan yang menjadi agensi pelaksana di negeri ini dilihat menjadi penyebab kepada kelewatan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan di luar bandar. 

Tegasnya, terdapat projek di negeri ini yang berhadapan masalah ekoran daripada kelewatan penyaluran dana, selain banyak amalan birokrasi serta berlaku permainan politik dalam pengurusan projek. 

Namun begitu katanya, dia mewakili kerajaan negeri tidak menolak kenyataan bahawa berbilion ringgit telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan projek pembangunan di Sabah termasuk pembinaan jalan raya yang lebih baik, bekalan kemudahan asas di luar bandar serta bantuan lain terhadap golongan tidak bernasib baik. 

“Namun kerajaan negeri hanya mempersoal kelewatan penyaluran dana terhadap projek yang ingin dilakukan. Kegagalan tersebut menyebabkan projek itu lambat disiapkan seterusnya menjejaskan kebajikan masyarakat di luar bandar. 

“Sekiranya perkara ini berlaku, rakyat akan menyalahkan kerajaan kerana gagal melaksanakan projek dengan baik. Saya tidak mahu perkara seumpama ini berlaku kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan mengotakan janji yang telah diberikan,” katanya.


sumber: utusanmalaysia


0 comments: