17 Oktober 2015

KAJIAN PERLU DIADAKAN JIKA GAJI MINIMUM DITINGKATKAN


Meningkatkan gaji minimum boleh membawa kepada pemberhentian dalam tenaga kerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana tidak dapat menampung iklim ekonomi semasa.

Naib Presiden Persekutuan Industri Sabah (FSI) Yap Cheen Boon berkata, satu kajian menyeluruh perlu diadakan sama ada untuk meningkatkan gaji minimum dan bukannya membuat keputusan didorong oleh sebab politik.

“Ia bukan isu pokok jika kos barangan adalah punca utama di sebalik kenaikan gaji minimum,” katanya.

Katanya, kerajaan seolah-olah tidak profesional dan mengelak untuk menyemak semula gaji minimum memandangkan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, dan bukannya menjalankan kajian menyeluruh untuk mengetahui sebab di sebalik isu-isu itu.

Yap berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Kamal Pardi bahawa gaji minimum sedang disemak semula untuk menentukan sama ada kadar semasa perlu dikekal atau dinaikkan.

Kamal berkata, kemungkinan besar gaji minimum ditingkatkan berikutan kos sara hidup yang meningkat. Gaji minimum semasa adalah RM900 untuk pekerja di Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk pekerja di Malaysia Timur dan Labuan.

Yap berkata, kerajaan pada mulanya memutuskan gaji minimum berdasarkan faktor seperti kos sara hidup, produktiviti dan ekonomi secara keseluruhan.

Katanya, Sabah berada di bahagian bawah pertumbuhan ekonomi negara dan tidak menampakkan apa-apa peningkatan sejak bertahun-tahun.

Menurutnya, kesan ke atas kadar pengangguran juga perlu dipertimbangkan apabila menyemak semula gaji minimum.

Beliau mengingatkan statistik terkini menunjukkan bahawa nisbah penduduk dalam tenaga kerja adalah pada trend menurun.

Katanya, PKS terdiri 70 peratus daripada ekonomi di Sabah.

“Perniagaan berada di ambang kehidupan di tengah-tengah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kesukaran aliran tunai dan kegawatan ekonomi.

“Bagaimana kita dapat menampung kenaikan mendadak dalam gaji minimum?

Yap berkata, kerajaan perlu mengambil kira bahawa majikan dan pekerja kedua-duanya saling bergantung.

“Jika gaji minimum dinaikkan, (kerajaan) perlu membantu perniagaan untuk menghadapi dari segi lebih kelonggaran dalam GST, cukai syarikat, subsidi dan pembiayaan,” katanya.


Sumber:  utusanborneoonline


0 comments: