03 Februari 2015

Jangan terikut-ikut dengan rentak pembangkang - Datuk Samsudin Yahya


Datuk Samsudin bersama para pemimpin Parti Komponen Barisan Nasional


Masyarakat terutamanya penduduk kawasan Batu Sapi diingatkan supaya tidak terikut-ikut dengan rentak pihak pembangkang yang cuba mengaburi mata rakyat semata-mata untuk kepentingan politik sempit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, berkata rakyat tidak perlu terpengaruh kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebaliknya sentiasa berusaha memastikan pembangunan sampai ke akar umbi.

Katanya, tidak seperti pembangkang yang datang menjengah rakyat bila tibanya musim pilihan raya sedangkan pemimpin-pemimpin BN turun padang pada setiap masa tanpa mengira waktu dan tempat.

“Saya berharap apa pun dakyah dan tohmahan cuba dilempar janganlah rakyat terikut-ikut atau terpengaruh kerana ia hanya merugikan sebab mereka-mereka ini hanya akan timbul bila tiba sesuatu pilihan raya.

“Inilah perbezaan pembangkang dengan pemimpin kerajaan BN. Kita jumpa rakyat pada bila-bila masa dan bukannya bila sudah sampai pilihan raya,”
jelasnya.

Ketua Umno Bahagian Batu Sapi ini menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Media 2015 dan Gong Xi Fa Cai anjuran Parti MCA Batu Sapi di Kenalan Seafood Restaurant, Batu 4, dekat sini, malam Ahad.

Hadir sama Adun Karamunting, Charles O Pang; Ketua MCABatu Sapi selaku Pengerusi Penganjur Majlis, Dato’ Chew Kok Woh; Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi, Kong Nyuk Thou; Ketua Bahagian LDP Karamunting, Lim Kai Ming dan Ketua Bahagian MIC Sandakan, Ganesan serta Pengerusi Persatuan Media Massa Sandakan Sabah (PEMASSA), Haslin Ghaffor.

Dalam pada itu, Samsudin bersyukur kerana kekuatan parti BN termasuklah ahli- ahlinya sentiasa kukuh yang membuktikan bahawa perpaduan di dalam komponen begitu utuh.

Ujarnya, kekuatan ini didorong semangat tinggi komponen yang bekerjasama dalam setiap masa tanpa mengira perbezaan sebaliknya kepentingan parti diutamakan demi kebaikan bersama.

“Akhirnya, ini telah membantu parti untuk terus kukuh walaupun pihak-pihak tertentu cuba mengaburi mata rakyat dengan pelbagai dakyah dan tohmahan.

“Namun, kekukuhan perpaduan dalam BN yang menentukan kekuatan kita telah menambahkan lagi kekuatan parti untuk maju ke hadapan selari dengan pembangunan negara,”
tegas beliau.

Serentak itu, Pengerusi Penyelaras BN Batu Sapi menegaskan kerajaan BN perlu diberikan mandat sebagai parti pemerintah menjelang pilihan raya akan datang berdasarkan tanggungjawabnya melaksanakan amanah kepada rakyat.

Katanya, hanya BN sahaja mampu menjaga dan membela kepentingan rakyat jelata yang terbukti selama pemerintahannya yang berkesan ini telah banyak perubahan khususnya di kawasan luar bandar.

Terdahulu, Chew berkata majlis pada malam itu sebagai menghargai peranan dan sumbangan golongan pengamal media seperti wartawan dalam menjalankan tugas seharian mereka.

Menurut beliau, walaupun pada masa kini masyarakat boleh mengikuti berita-berita melalui internet tetapi juga surat khabar memainkan peranan penting di kalangan masyarakat tempatan.

“Maka dengan itu, pihak kami amat menghargai peranan yang dimainkan oleh pengamal media ini. Justeru, kami mengadakan Majlis Malam Media khas ini untuk para media bagi mengucapkan jutaan terima kasih kami kepada mereka.

“Selain menghargai peranan wartawan dan pemberita, diharap program malam ini juga dapat mengerat tali silaturrahim di antara komponen-komponen BN yang hadir,”
jelasnya.


Sumber: newsabahtimes


0 comments: