03 Februari 2015

Isu Perumahan - Dibincang pada Mesyuarat Jawatankuasa Penempatan Semula ESSZONE.


Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penempatan Semula Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang pertama tahun ini, kelmarin Mesyuarat yang diadakan di Wisma Innoprise, dekat sini itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Ruji Ubi dan anggota tetap jawatankuasa itu.

Selepas penstrukturan semula ESSCOM, mesyuarat Jawatankuasa ESSZONE yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pada 10 Disember tahun lepas memutuskan penubuhan Jawatankuasa Penempatan SemulaESSZONE bagi meneruskan fungsi jawatankuasa kerja menangani isu penempatan semula kampung air.

Ketika membentangkan perubahan nama jawatankuasa itu, Ruji berkata jawatankuasa itu penting bagi menjayakan wawasan kerajaan menyusun semula penempatan air mengikut keutamaan di ESSZONE seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 di Parlimen tahun lepas.

Turut dibentangkan pada mesyuarat itu ialah laporan perkembangan projek perumahan (PPR) Bubul Lama, Semporna yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan laporan cadangan pemilikan 900 unit rumah di Off Jalan Bomba bagi penempatan semula penduduk empat kampung air di Sandakan.

Agenda lain yang dibincangkan ialah usaha mendapatkan bajet membeli rumah dari projek perumahan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, majlis perbandaran dan pihak swasta.

Sebelum ini, ESSCOM telah melancarkan operasi bancian di sembilan kampung Mukim Simunul, Semporna dan empat perkampungan air iaitu kg Forest (termasuk Kampung Goodview), Muhibbah, Cahaya Baru dan Mangkalinau di Sandakan.

Ruji berkata tujuan utama operasi bancian (ESSCOM) itu ialah mendapatkan maklumat yang lengkap dan tepat termasuk perangkaan mengenai jumlah kampung, jumlah penduduk, jumlah keluarga dan demografi penduduk warga negara dan bukan warganegara.

“Kita juga mahu mengumpul butiran lain tentang latar belakang dan sosio ekonomi penduduk di situ, sekali gus membantu kita dan juga kerajaan untuk merancang yang terbaik termasuk penempatan semula perkampungan air terbabit,” katanya.

Mengikut Arahan Eksekutif penstrukturan semula ESSCOM, tanggungjawab mengurus dan menyelia program penempatan semula kampung air di ESSZONE diletakkan dibawah komponen awam (Bahagian Tindakan Awam) ESSCOM yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif.

Sementara itu, Ketua Seksyen Sosio-ekonomi ESSCOM Wan Mohd Khalid Wan Kamal dilantik sebagai Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCOM yang baharu bagi menggantikan Mohamad Yusri Hashim yang kini menyandang jawatan Pengarah Imigresen Kedah.


Sumber: newsabahtimes


0 comments: