Apabila datang atau menjelang hari raya, umat Islam pun menyambutnya dengan suasana yang meriah dengan berbagai-bagai acara yang disediakan atau dianjurkan. Maka adalah sangat penting bagi kita mendalami atau mempelajari adab/cara yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. dalam menyambut kedatangan hari raya agar kita berada di dalam batas batas yang diizinkan oleh syara’.
Alangkah ruginya setelah sebulan kita berpuasa, bertarawih, berwitir dan mengerjakan berbagai amal soleh dalam rangka membina sifat seorang mukmin sejati, tiba tiba bila sampai hari raya kita menyambutnya dengan cara yang bertentangan dengan batas batas syara’. Firman Allah :
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى
“Sesungguhnya telah memperolehi kemenangan orang yang mensucikan diri dari dosa-dosa dan maksiat dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.” Surah Al-A'la ayat 14-15 [87:14-15].
1. BERPAKAIAN YANG TERBAIK
Untuk melakukan amalan yang secucuk dengan As-Sunnah di dalam menyambut hari raya ini hendaklah kita berpandukan apa yang terdapat di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kita mulakan dengan menyediakan pakaian yang bagus atau terbaik menurut kemampuan kita. Ja’far ibn Muhamad r.a. menerangkan :
اِنَّ النَّبِيَّ ص كَانَ يَلْبَسُ بُرْدَ حِبْرَةٍ فِيْ كُلِّ عِيْدٍ
“Bahawa Nabi saw. memakai burdah hibrah (kain penutup badan buatan Yaman) pada tiap-tiap hari raya.” Riwayat Asy-Syafie ; Al-Muntaqa II : 36 , diriwayatkan juga oleh Al-Baghawy dalam syarah As-Sunnah dan diriwayatkan juga oleh Ath-Thabaranie.
Menyatakan bahawa disunnahkan kita memakai pakaian yang baik, elok di hari raya, janganlah kita memakai pakaian yang ala kadar sedangkan kita berkemampuan mencari pakaian yang lebih baik. Dari Ummu Athiah ia menceritakan tentang wanita yang tidak ada pakaian jilbab untuk dipakai pada hari raya lalu bersabda Rasulullah saw.:
....... لِتُلْبِهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
“….. Hendaklah kawannya memberi pakai akan jilbabnya (baju panjangnya).” Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lainnya.
Alangkah baiknya bagi yang berkemampuan mereka membeli pakaian yang baru lalu diberikan kepada jiran atau anak-anak jiran yang tidak berkemampuan agar mereka dapat berpakaian yang baik di hari raya malah ianya adalah satu sedekah yang sememangnya sesuai dengan bulan Ramadhan yang menganjurkan umat Islam bersifat suka untuk bersedekah sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.:
كَانَ رَسُوْلُ الله ص اَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ اَجْوَدَ مَا يَكُوْنُ فِيْ رَمَضَانَ .......
“Rasulullah saw. adalah orang yang paling dermawan dan kedermawanannya itu sangat menonjol di bulan Ramadhan…” Hadits Shahih Riwayat Bukhari dan Muslim.
Berkata Ibnul Qaiyim : “Pada kedua hari raya itu, Rasulullah saw. biasa mengenakan pakaian yang terbaik, dan ada sepasang pakaian beliau yang khusus digunakan pada solat hari raya dan solat Jumaat.” Fikih Sunnah jilid II, m.s. 280, Bab Shalat Dua Hari Raya.
Elakkanlah dari melampaui batas dengan membeli berpasang pasang pakaian atau menyambut ‘Ied dengan menukar langsir, kerusi baru, katil baru dan lainnya sedangkan ianya masih elok dan boleh digunakan, kerana lebihan wang yang ada itu adalah lebih baik di gunakan ke jalan Allah dengan cara yang sepatutnya. Tidaklah Rasulullah saw. mencontohkan sunnah dengan cara berlebih-lebihan di dalam menyambut ‘Ied.
Bermula dari pagi raya itu menurut Ibnu Qudamah adalah disukai kita membersihkan diri dan memakai pakaian yang bagus yang kita miliki, memakai bau-bauan seperti keadaan kita pada hari Jumaat. Rujuk Koleksi Hadis Hadis Hukum 5, m.s. 202. Iaitu Ibnu Qudamah mengqiyaskan perbuatan membersihkan diri/mandi di pagi hari raya itu dari cara yang diamalkan pada hari Jumaat.
Bagi yang berhadas kerana berjima’ (bersetubuh) pada malamnya itu maka tetaplah ia perlu mandi di pagi hari raya, adapun bagi yang tidak berhadas tidaklah saya bertemu larangan untuk mandi di pagi hari raya (walaupun tidak diperoleh pengamalan sunnah tentang mandi di pagi raya dari hadits yang sahih), cuma perbuatan mandi itu tidak dapat saya nyatakan dengan secara tegas bahawa ianya sunnat kerana tidaklah ditemui dalam pencarian saya keterangan yang sahih dan jelas daripada Rasulullah saw melainkan ianya dari pengamalan Ibnu Umar, seorang sahabat besar. Disebut dalam sepotong riwayat Imam Malik:
اِنَّ عَبْدَ الله بْن عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ اَنْ يَغْدُوَ اِلَى الْمُصَلَّى
Bahawa Ibnu Umar selalu mandi pada Hari Raya Fithri sebelum pergi ke mushallah
Namun demikian, ianya (mandi di pagi raya) tetap boleh dilakukan setidak tidaknya sebagai persiapan membersihkan diri atau paling kurang ia menjadi sebagai amalan harian biasa (duniawi) yang tidak terlarang. Dari Fikih Sunnah I – Sayid Sabiq (terjemahan), m.s.: 122-123, menjelaskan tidak ada satu hadits yang sah mengenai hal mandi di pagi hari raya. Disebut dalam Al-Badrul Munir : ‘Semua hadits tentang mandi pada kedua hari raya, lemah.’ Terdapat sebahagian ulama yang menyatakannya sebagai sunnat dengan mengqiyaskan Hari Raya Fithri itu dengan hari Jumaat di mana ada yang mengambil faham bahawa hari Jumaat itu juga dipandang sebagai hari raya.
2. MEMAKAI BAU-BAUAN BAGI LELAKI
Sebahagian ulama menyatakan baik bagi kaum lelaki memakai bau-bauan pada hari raya dengan mengqiyaskan dari hadits yang banyak dan sah tentang persedian untuk ke solat Jumaat dan hadits yang bersangkutan wangian yang umum, sebagaimana dijelaskan oleh hadits dari Salman Al-Farisi, ia berkata bahawa Nabi saw. bersabda ::
لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَيَتَطَهَّرُ بِمَا اسْتَطَاعَ
مِنْ طُهْرٍ وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ اَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيْبِ بَيْتِهِ
ثُمَّ يَرُوْحُ اِلَى الْمَسْجِدِ .....
“Tidaklah seorang laki laki mandi pada hari Jumaat, dan membersihkan badannya menurut kemampuannya, lalu memakai minyak atau mengenakan wangi wangian yang ada di rumahnya – kemudian pergi ke masjid…” Riwayat Ahmad dan Bukhari.
Hadits dari Abu Said r.a. dari Nabi saw., sabdanya :
عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَيَلْبَسُ مِنْ صَالِحِ ثِيَابِهِ وَاِنْ كَانَ لَهُ طِيْبٌ مَسَّ مِنْهُ
“Setiap orang Muslim hendaklah mandi pada hari Jumaat mengenakan pakaiannya yang terbaik dan kalau punya, hendaklah pula memakai harum haruman.” Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.
Manakala hadits di dalam bab memakai wangian untuk ke solat ‘Ied dari Hasan as-Shibti, katanya :
اَمَرَنَا رَسُوْلُ الله ص فِي الْعِيْدَيْنِ اَنْ نَلْبَسَ اَجْوَدَ مَا
نَجِدُ وَاَنْ نَتَطَيَّبَ بِاَجْوَدِ مَا نَجِدُ وَاَنْ نُضَحِّيَ
بِأَثْمَنِ مَا نَجِدُ
“Rasulullah saw. memerintahkan kami agar pada hari raya itu mengenakan pakaian yang terbagus, memakai wangi wangian yang terbaik, dan bekurban dengan haiwan yang paling berharga.” Hadits Riwayat Hakim, dalam sanadnya terdapat Ishak bin Barzakh yang dianggap dhaif oleh Al-Azdi. Hadits ini tidak dapat saya cari darjatnya yang jelas melainkan ia bermasalah.
Tetapi terdapat hadits yang bersifat umum dalam pemakaian wangian seperti hadits di bawah ini :
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ ص: مَنْ عُرِضَ عَلَيْهِ
طِيْبٌ فَلاَ يَرُدَّهُ فَاِنَّهُ خَفِيْفُ الْمَحْمَلِ طَيِّبُ
الرَّائِحَةِ
Dari Abu Hurairah r.a. berkata :Telah bersabda Rasulullah saw: “Barangsiapa diberikan wangian janganlah ia menolaknya, kerana wangi wangian itu ringan dibawa dan harum baunya.” Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud.
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ ص: اِنَّ طِيْبَ
الرِّجَالِ مَا ظَهَرَ رِيْحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَطِيْبَ النِّسَاءِ مَا
ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيْحُهُ
Dari Abu Hurairah r.a. berkata : “Rasulullah saw. bersabda : Wangian yang sangat baik dipakai kaum lelaki yang semerbak baunya tidak menjolok warnanya,. Dan wangian yang sangat baik dipakai perempuan, yang menjolok warnanya dan tidak semerbak benar baunya (tidak terlalu menikam keharumannya).” Riwayat An-Nasai dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi hadits ini hasan.
Memandangkan hadits yang banyak dari bab memakai wangian semasa mempersiapkan diri kepada solat Jumaat dan hadits tentang disukai oleh Rasulullah saw. memakai wangi wangian yang bersifat umum maka memakai wangian kepada majlis solat ‘Ied bagi lelaki itu tiadalah tegahan malah ianya termasuklah dalam mempersiapkan diri dan berada di dalam keadaan yang menyenangkan.
Tetapi adalah dilarang bagi para wanita memakai bau bauan/wangian apabila keluar dari rumah atau pun keluar pada hari raya beralasankan hadits dari Abu Hurairah r.a., ia berkata Abul Qasim saw.(Rasulullah saw.) bersabda :
لاَ تُقْبَلُ صَلاَةٌ لاِمْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ لِهَذَا الْمَسْجِدِ حَتَّى تَرْجِعَ فَتَغْتَسِلَ غُسْلَهَا مِنَ الْجَنَابَةِ
“Tidak diterima solat seorang wanita yang memakai minyak wangi untuk ke masjid hingga ia kembali (ke rumahnya) lalu mandi sebagaimana ia mandi janabah.”
Hadits sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud (4174), Ahmad (II/246), Ibnu Khuzaimah (1682) dan Baihaqi (III/133). Rujukan Mausuu’ah al-Manaahiyyiys Syar’iyyah fii Shahiihis Sunnah an-Nabawiyyah-Syaikh Salim bin ‘Ied al-Hilali.
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata Rasulullah bersabda :
اِذَا اسْتَعْطَرَتْ الْمَرْأَةُ فَمَرَّتْ عَلَى الْقَوْمِ لِيَجِدُوْا رِيْحَهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ وَكُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ
“Jika seorang wanita mengenakan minyak wangi lalu ia lewat di hadapan lelaki hingga mereka mencium baunya, maka sesungguhnya ia telah berzina dan setiap mata yang memandangnya telah berzina.” Hadits hasan riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah.
Dan ada lain lain hadits yang menjelaskan tentang larangan bagi wanita memakai wangian atau bauan, oleh yang demikian elakkanlah diri sebagai wanita Islam dari melakukan perkara yang terlarang, kerana yang demikian itu tiadalah sebarang manfaat melainkan orang yang melakukan perkara yang telah jelas ia tahu terlarang itu, telah melakukan satu dosa. Pakailah wangian itu di rumah semasa bersama suami kerana yang demikian itu adalah cara yang terpelihara dari dosa dan fitnah.
Para ulama sependapat tentang disukai wanita memakai wangian di rumah tangganya, di hadapan suaminya, dan tidak menyukai mereka memakai wangian bila berjalan di luar rumah, untuk menolak fitnah. Rujukan KOLEKSI HADIS HADIS HUKUM I oleh T.M. Hasbi, m.s. 220-221.
3. MAKAN DULU SEBELUM SOLAT IE'DIL FITHRI
Adalah disunnahkan kita makan terlebih dahulu sebelum hadir menunaikan solat Ie'dil Fithri dan menangguhkan makan pada sebelah pagi solat Ie'dil Adha sampai kembali dari solatnya. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadits dari Anas, katanya :
كَانَ النَّبِيُّ ص لاَ يَغْدُوْ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
“Pada waktu Ie'dil Fithri Rasulullah saw. tidak berangkat ke tempat solat sebelum memakan beberapa buah kurma dengan jumlah yang ganjil.” Riwayat Ahmad dan Bukhari.
Dan dari Buraidah, katanya :
كَانَ النَّبِيُّ ص لاَ يَغْدُوْ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ وَلاَ يَأْكُلُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يَرْجِعَ
“Nabi saw. tidak berangkat pada waktu Ie'dil Fithri sebelum makan dahulu, dan beliau saw tidak makan pada waktu Ie'dil Adha sehingga beliau pulang.” Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah.
4. BERJALAN KAKI KE TEMPAT SOLAT ‘IED
Adalah disunnahkan berjalan kaki ke tempat solat, ini beralasankan dari hadits Ali bin Abi Thalib r.a., ia berkata :
مِنَ السُّنَّةِ اَنْ يَخْرُجَ اِلَى الْعِيْدِ مَاشِيًا وَاَنْ يَأْكُلَ شَيْئًا قَبْلَ اَنْ يَخْرُج
“Dari Sunnah Nabi, ialah : keluar ke majlis hari raya sambil berjalan kaki dan makan sesuatu sebelum pergi ‘Ied (solat hari raya) itu.” Riwayat Tirmizi. Hadits ini hasan menurut Tirmidzi dan diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah. Penilaian Imam Tirmizi ini masih perlu ditinjau kerana terdapat pada sanadnya Al-Harits Al-A'war, seorang yang dituduh dusta walaupun sebahagian ahli hadits mempercayainya.
Walaupun hadits di atas pada satu jalurnya terdapat kecacatan, namun pengamalannya masih boleh dilakukan kerana terdapat sokongan dari riwayat-riwayat lainnya. Sepotong hadits umum daripada Abu Hurairah yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah saw bersabda: "Apabila kamu datang ke tempat solat maka datanglah dengan berjalan kaki." Bagi yang mampu berjalan ke tempat solat ‘Ied maka inilah pilihan yang terbaik untuk dilakukan menurut As-Sunnah, tetapi tidaklah dilarang bagi yang uzur atau orang yang tinggal jauh dari kawasan solat dikerjakan datang dengan berkenderaan. Dan adalah disunnahkan kita pulang atau balik dari solat ‘Ied dengan jalan yang berbeza dari jalan yang kita mendatanginya. Dari Jabir r.a.:
كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيْقَ
“Bahawa Nabi saw. pada waktu hari raya, menempuh jalan yang berlainan.” Riwayat Al-Bukhari.
Dan dari Abu Hurairah r.a., katanya :
كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا خَرَجَ اِلَى الْعِيْدِ يَرْجِعُ فِيْ غَيْرِ الطَّرِيْقِ الَّذِيْ خَرَجَ فِيْهِ
“Apabila Nabi saw. pergi solat hari raya, maka ketika pulang beliau menempuh jalan yang berlainan dengan di waktu perginya.” Riwayat Ahmad, Muslim dan Tirmidzi.
PARA WANITA DAN AHLI KELUARGA KELUAR KE TEMPAT SOLAT ‘IED
Adalah di sunnahkan para wanita, baik yang janda, isteri orang, anak gadis tua dan muda keluar ke tempat solat ‘Ied. Ini berdasarkan hadits dari Ummu ‘Athiah, katanya :
قَالَتْ اُمُّ عَطِيَّةَ: كُنَّا نُؤْمَرُ اَنْ نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيْرِهِنَّ
Kata Ummu ‘Athiah : “Kami diperintahkan supaya membawa keluar wanita wanita yang berhaid dan mereka bertakbir bersama sama dengan takbir kaum wanita.” Riwayat Bukhari.
Ibnu Abbas meriwayatkan katanya :
كَانَ يَأْمُرُ بَنَاتِهِ اَنْ يَخْرُجْنَ فِي الْعِيْدَيْنِ
“Adalah Rasulullah saw. menyuruh puteri puterinya supaya keluar pada dua hari raya.” Riwayat Ahmad.
Dan bagi wanita yang berhaid tempatnya di majlis ‘Ied, jika di Mushalla (kawasan tanah lapang untuk didirikan solat ‘Ied) mereka duduk di belakang jamaah/belakang orang ramai yang bersolat di majlis ‘Ied dan mereka bertakbir bersama sama orang ramai atau bertakbir bersama takbir kaum wanita. Dari Ummu ‘Athiah :
وَالْحَيَّضَ يَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ يُكَبِّرْنَ مَعَ النَّاسِ
“Wanita wanita yang berhaid duduk di belakang orang ramai dan ikut bertakbir bersama sama dengan orang ramai.” Riwayat Muslim dan Abu Daud.
Dan jika di masjid, wanita yang berhaid itu berada di belakang jamaah solat ‘Ied wanita. Tentang wanita yang berhaid itu bolehkah ia duduk di dalam masjid ? Maka masalah ini ada perbicaraan yang agak panjang dari para ulama, ada yang berpandangan tidak boleh. Ini beralasankan hadits Ummu Salamah r.a.:
دَخَلَ رَسُوْلُ الله ص صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى
صَوْتِهِ: اِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِحَائِضٍ وَلاَ لِجُنُبٍ
Rasulullah saw. masuk ke halaman masjid dan berseru sekeras suaranya : “Sesungguhnya masjid tidak dibolehkan bagi orang haid maupun orang yang berjunub.”
H.R. Ibnu Majah dan Thabranie. Menurut pentahqiqan pengarang Tahzibus Sunan bahawa menurut pendapat Ibnu Hazm, hadits ini dinyatakan majhul (ada perawi yang tidak dikenali) maka ianya tidak dapat dijadikan alasan. Malah disebut dalam Az-Zawaa'id bahawa sanad hadits ini dicela oleh para ahli hadits.
Dan ada pula ulama yang mengambil pandangan tidak boleh duduk atau menetap di dalam masjid tetapi dibenarkan sekadar masuk atau melaluinya sebagaimana riwayat dari Aisyah r.a.:
قَالَ لِيْ رَسُوْلُ الله ص: نَاوِلِيْنِيْ الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ.
فَقُلْتُ: اِنِّيْ حَائِضٌ فَقَالَ: اِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِيْ يَدِكِ
Rasulullah saw. telah bersabda kepadaku : “Ambilkan tikar solat buatku dari masjid !”
Jawabku : “Aku haid” Maka ujarnya : “Haidmu itu bukan terletak di tanganmu.” Riwayat Jamaah kecuali Bukhari.
Walaupun begitu ada sebahagian ulama lainnya memandang wanita berhaid boleh duduk di dalam masjid atau tidak ada halangan untuk berada di dalamnya. Ini beralasankan bahawa hadits hadits di dalam bab melarang wanita memasuki masjid itu berdarjat lemah (dhaif), dan haid itu tidak boleh disamakan dengan junub. Haid itu adalah satu perkara yang berlaku dengan ketetapan Allah (fitrah), manakala junub itu berlaku dengan izin Allah dengan perbuatan manusia itu sendiri. Sepotong hadits dari Ummu Athiyah yang berbunyi :
اُمِرْنَا اَنْ نُخْرِجَ الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ فِي الْعِيْدَيْنِ
يَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِيْنَ وَيَعْتَزِلُ الْحُيَّضُ
الْمُصَلِّيَ
“Kami di perintahkan untuk mengajak (pergi ke tanah lapang-mushalla) semua gadis dan wanita yang berhalangan di dua hari raya (supaya) mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum Muslimin. Cuma wanita yang sedang berhaid menjauhi tempat solat.” Riwayat Bukhari dan Muslim
Lafaz ويعتزل الحيض المصلي "hendaklah wanita yang berhaid menjauhi tempat solat" ini diperjelaskan lagi melalui riwayat yang sabit di sisi Bukhari dengan lafaz وليجلسن في مؤخرة الصفوف iaitu hendaklah mereka yang berhaid itu duduk di saf yang akhir di mana illah (sebab) untuk yang demikian agar tidak terputusnya saf apabila wanita yang bersolat mendirikan solat. Rujuk فتاوى المرأة المسلمة كل ما يهم المرأة المسلمة في شئون الدين والدنيا dalam Kitabus-Solat pada Bab Adakah wanita yang berhaid boleh duduk di masjid?
Yang jelas terlarang adalah berjunub, sebagaiman firman Allah : Surah An-Nisa’ ayat 43 [4:43]
يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تَقْرَبُوْا الصَّلاَةَ وَاَنْتُمْ
سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوْا مَا تَقُوْلُوْنَ وَلاَ جُنُبًا اِلاَّ
عَابِرِى سَبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوْا
Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu hampiri solat ketika kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu ucapkan, begitupun dalam keadaan junub kecuali bila kamu hanya melaluinya saja sehingga kamu mandi.
BACAAN TAKBIR HARI RAYA
Bacaan takbir raya sebagaimana dijelaskan di dalam Kitab Fikih Sunnah jilid II (terjemahan), m.s.296. : Mengenai lafaz takbir, maka banyak macam ragamnya, tetapi keterangan yang paling sah menjelaskan soal ini, ialah yang diriwayatkan oleh Abdul Razaq dari Salman dengan sanad yang sahih, katanya : “Bertakbirlah dengan lafaz:
اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ كَبِيْرًا
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar.”
Dan di terima pula dari Umar dan Ibnu Mas'ud bahawa lafaznya adalah :
اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allahlah segala puji.”
Fikih Sunnah II (terjemahan), m.s. 297, Bab Shalat Dua Hari Raya – Bertakbir pada Hari Raya.
Takbir raya ini boleh dibaca sejak pagi raya dan adalah disunnahkan membacanya semasa dalam perjalanan ke masjid. Ali bin Abi Thalib r.a. berkata :
اِنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ اِذَا غَدَا اِلَى الْمُصَلَّى كَبَّرَ فَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيْرِ
Bahawasanya Ibnu Umar apabila pergi ke mushalla membaca takbir dengan suara nyaring. Riwayat Asy-Syafie. "Dalam suatu riwayat Asy-Syafie yang berbunyi: Ibnu Umar pergi ke mushalla pada hari raya puasa apabila telah terbit matahari. Beliau bertakbir sejak dari rumahnya sehingga sampai ke mushalla. Di mushalla beliau terus bertakbir sehingga datang imam. Apabila imam telah datang barulah takbir beliau hentikan." – Al-Hafizh dalam
Sila rujuk KOLEKSI HADIS HADIS HUKUM 5 oleh T.M.Hasbi, m.s.: 203-205.
SOLAT HARI RAYA
Waktu solat hari raya menurut hadits hadits yang sahih adalah dilakukan di waktu pagi dan hadits hadits yang menetapkan solat Ie'dil Fithri dilewatkan sedikit dari waktu solat Ie'dil Adha dengan ukuran sepenggalah dan dua penggalah dari takhrij Ahmad Hasan Al-Banna’ dari Judub, adalah hadits maudhu’. Ini kerana terdapat dalam sanadnya seorang yang bernama Mu’alla bin Hilal yang disepakati para imam pengkritik hadits akan kebohangannya. Sila rujuk Tamamul-Minnah hal.347, Al-Irwa’ 3/101-102.
Demikian juga hadits riwayat Asy-Syafie dalam bab ini adalah mursal dan tersangat dhaif untuk dibuat alasan. Yang nyata Rasulullah saw. bersolat hari raya Ie'dil Fithri dan Ie'dil Adha di pagi hari sebagaimana Ibnu Umar r.a. meriwayatkan, katanya :
اَنَّ رَسُوْلَ الله ص كَانَ يَغْدُوْ اِلَى الْمُصَلَّى فِيْ يَوْمِ
الْعِيْدِ وَالْعَنَزَةُ تُحْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ فَاِذَا بَلَغَ
الْمُصَلَّى نُصِبَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ فَيُصَلِّيْ اِلَيْهَا وَذَلِكَ
اَنَّ الْمُصَلِّيْ كَانَ فَضَاءً لَيْسَ فِيْهِ شَيْءٌ يَسْتُرُ بِهِ
“Adalah Rasulullah saw. keluar pagi hari ke mushalla pada hari raya dan sebatang tongkat di bawa di depannya. Apabila beliau sampai ke mushalla, dicacaknya tongkat itu di hadapannya dan beliau solat ke arahnya. Demikian itu kerana mushalla itu adalah tanah lapang yang tiada sesuatu yang dapat di jadikan sutrah.” Riwayat Ibnu Majah
SATU KHUTHBAH SAHAJA
Solat ‘Ied itu adalah dilakukan dengan satu khuthbah sahaja iaitu setelah selesai solat dua rakaat ‘Ied. Ini beralasankan hadits dari Abdullah bin Umar r.a. ia berkata :
كَانَ رَسُوْلُ الله ص وَاَبُوْ بَكْرٍ وَعُمَرُ يُصَلُّوْنَ الْعِيْدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ
“Adalah Rasulullah saw., Abu Bakar dan Umar mengerjakan solat dua hari raya sebelum khuthbah.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Abdullah bin Abbas r.a. berkata :
شَهِدْتُ الْعِيْدَ مَعَ النَّبِيُّ ص وَاَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ كُلُّهُمْ يُصَلُّوْنَ قَبْلَ الْخُطْبَةِ
“Saya ikut serta mengerjakan solat hari raya bersama sama dengan Nabi saw., Abu Bakar, Umar dan Uthman, semua mereka mengerjakan solat sebelum khuthbah.” Riwayat Jamaah selain At-Tirmidzi.
Tidak pun dinyatakan bahawa khutbah itu dibuat dua bahagian sebagaimana solat Jumaat dan diperjelaskan lagi oleh hadits dari Abu Said Al-Khudri, ia berkata :
كَانَ النَّبِيُّ ص يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى اِلَى
الْمُصَلَّى وَاَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ
فَيَقُوْمُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوْسٌ عَلَى صُفُوْفِهِمْ
فَيَعِظُهُمْ وَيُوْصِيْهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ وَاِنْ كَانَ يُرِيْدُ اَنْ
يَقْطَعَ بَعْثًا اَوْ يَأْمُرُ بِشَيْءٍ اَمَرَ بِهِ ثُمَّ يَنْصَرِفُ
“Adalah Nabi saw. keluar ke Mushalla pada hari raya Fitrah dan hari raya Adha. Yang mula mula dilakukan oleh beliau ialah solat. Kemudian setelah selesai solat beliau berpaling lalu bangun mengadap orang ramai yang sedang duduk di saf saf mereka. Beliau memberi nasihat kepada mereka, berpesan kepada mereka dan menyuruh mereka. Jika beliau hendak mengirim tentera atau hendak menyuruh mereka mengenai sesuatu beliau menyuruhnya dan kemudian beliau pulang.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Tetapi khuthbah di masa sekarang ini kebanyakannya dibahagikan kepada dua bahagian, amalan ini timbul dari kerana berpegang dengan hadits hadits yang dhaif (lemah).
Di antara hadits yang dhaif itu adalah dari Ubaidullah bin Utbah, katanya :
السُّنَّةُ اَنْ يَخْطُبُ الاِمَامُ فِي الْعِيْدَيْنِ خُطْبَتَيْنِ يُفَصِّلُ بَيْنَهُمَا بِجُلُوْسٍ
"Sunnah menghendaki supaya imam membaca dua khuthbah dalam solat hari raya yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk.” Riwayat Asy-Syafie.
Hadits ini tidak boleh menjadi hujjah kerana Ubaidullah bin Utbah adalah dari kalangan tabiin. Dan apabila tabiin menyatakan ‘Sunnah menghendaki begini’ atau ‘Ini sunnah’ sedangkan ianya tidak bersambung kepada Rasulullah saw., maka menurut ilmu Ushul perkataan tabiin seperti ini tidak boleh dijadikan dalil bahawa itu adalah sunnah Rasulullah saw.
Hadits lainnya :
كَانَ النَّبِيُّ ص يُكَبِّرُ بَيْنَ اَضْعَافِ الْخُطْبَةِ يُكْثِرُ التَّكْبِيْرِ فِيْ خُطْبَةِ الْعِيْدَيْنِ
“Adalah Nabi saw. bertakbir di antara bahagian bahagian khutbah, beliau memperbanyakkan takbir dalam khutbah dua hari raya.” Riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi. Hadits ini dhaif (lemah) kerana di dalam haditsnya terdapat seorang yang bernama Abdur-Rahman bin Saad seorang yang dhaif.
Dan ada hadits lainnya yang semuanya tidak terlepas dari kelemahan dan tidak dapat dijadikan dalil kerana telah ada hadits yang sahih yang menjelaskan tentang Rasulullah saw. tidak mengerjakan dua khutbah pada solat ‘Ied. Maka jalan yang selamat adalah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. sebagaimana sabdanya :
اَمَّا بَعْدُ فَاِنَّ اَصْدَقَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ وَاِنَّ
اَفْضَلَ الْهَدْىِ هَدْىُ مُحَمَّدٍ وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا
وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ
فِي النَّارِ
“Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya sebenar benar kalam itu ialah Kitabullah dan seutama utama pertunjuk itu ialah petunjuk Nabi Muhammad, dan sejelek jelek perkara ialah perkara perkara yang di ada adakan, dan tiap tiap yang di ada adakan itu adalah bid’ah dan tiap tiap bid’ah itu adalah sesat dan tiap tiap kesesatan itu dalam neraka.” Riwayat Muslim, Ibnu Majah, At-Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan An-Nasai.
LARANGAN DALAM MENYAMBUT ‘IED
1. Janganlah sambutan itu dilakukan dengan suasana riak (ingin menunjuk nunjuk), seperti berlawan siapa yang membuat kuih banyak, berlawan menghias rumah untuk bersaing dengan jiran dan lain lain perbuatan yang dikerjakan dengan niat membesar diri atau menunjuk bukan kerana Allah. Firman Allah :
وَمَا اُمِرُوْا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ ...
"Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kepadaNya …." Surah Al-Bayyinah ayat 5
Bersabda Rasulullah saw:
قَالَ اللهُ تَعَالَى: اَنَا اَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ
عَمِلَ عَمَلاً اَشْرَكَ فِيْهِ مَعِيْ غَيْرِيْ تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ
"Allah berfirman: Aku terkaya dari semua sekutu (tidak menghendaki sekutu), maka barangsiapa yang mengerjakan satu amalan ia mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang lain, Aku tinggalkan amalan itu dan sekutunya yang lain itu." Riwayat Muslim
2. Jangan menyambut ‘Ied itu dengan cara yang menyerupai orang kafir dengan memasang pelita atau lampu berwarna warni menghiasi malam dan siangnya dengan bunga api, meriam buluh dan mercun. Sesungguhnya Islam melarang persamaan dengan meniru agama kafir atau menurut jalan orang orang kafir. Firman Allah :
... وَلاَ تُطِعْ مِنْهُمْ ءَاثِمًا اَوْ كَفُوْرًا
“Dan janganlah kamu ikuti orang orang yang berdosa dan orang orang kafir di antara mereka.” Surah Al-Insan : 24.
Sabda Rasulullah saw.:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
"Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka" Shahih riwayat Ahmad
3. Jangan menjadikan perayaan orang kafir itu perayaan orang Islam dan jangan menjadikan perayaan ‘Ied itu perkongsian perayaan dengan orang kafir.Firman Allah di dalam surah Al Kaafirun ayat 6, yang berbunyi :
لَكُمْ دِيْنُكُمْ وَلِيَ دِيْنِ
Semasa Rasulullah saw. datang ke Madinah, penduduk Madinah telah mempunyai dua hari raya mereka sendiri. Maka bersabda Rasulullah saw. :
قَدْ اَبْدَلَكُمُ اللهُ تَعَالَى بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى
“Allah telah menggantikan kedua hari raya tuan tuan itu dengan dua hari raya yang lebih baik, iaitu hari Fitri dan Adha.” H.R. Nasai dan Ibnu Hibban dengan sanad yang sah. (dari keratan hadits yang di terima dari Anas).
Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah saw. bersabda :
يَا اَبَا بَكْرٍ اِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيْدًا وَاِنَّ الْيَوْمَ عِيْدُنَا
“Hai Abu Bakar, tiap tiap kaum mempunyai hari raya, dan hari ini adalah hari raya kita.” Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.
Sesungguhnya berkongsi di dalam urusan agama adalah perbuatan yang tidak di dasari contoh dari As-Sunnah.
4. Jangan jadikan hari ‘Ied itu hari kebebasan kepada orang Islam sehingga melewati batas Syara’, sehinggakan anak gadis bebas keluar sesuka hati malam dan siangnya tampa muhrimnya, anak lelaki pula dengan majlis sukaria yang bercampur di dalamnya kemaksiatan dan gejala social seperti rempit, minum arak, berjudi, berkaroke dan lain lain budaya liar yang haram dari sudut Syara’. Islam itu telah lengkap dengan segala panduan untuk kita mengamalkan cara hidup yang soleh, firman Allah :
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.” Surah Al-Maidah ayat 48 [5:48]
5. Demikian juga bagi orang dewasa yang lazimnya ingin menghidupkan suasana ‘Ied dengan amalan mulia, pastikan amalan yang di anggap mulia itu adalah amalan yang yang benar dan di redai Allah. Iaitu Amalan yang ada contoh pengamalannya dari Rasulullah saw. Tidaklah bila selesai solat ‘Ied kita lalu menyanyi beramai ramai untuk berselawat dan berjabat tangan. Tidak berjabat tangan dengan anak dara orang atau isteri orang dan sebagainya yang lazimnya berjabat tangan dengan tetamu di hari ‘Ied di anggap sebagai amalan mulia. Tidak ada contoh amalan dari Rasulullah saw. seperti itu dan alasan adat itu tidak boleh menjadi dalil menghalalkan perbuatan yang haram. Firman Allah :
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوْا لَهُمْ مِنَ الدِّيْنِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللهُ
“Apakah mereka mempunyai sekutu sekutu selain Allah yang mensyariatkan kepada mereka dari urusan agama yang tidak di izinkan Allah ?” Surah Asy-Syura ayat 21.
Demikian juga membuat majlis Tahlil sebagai kesyukuran dapat menyambut hari raya dengan keadaan yang harmoni/aman itu adalah amalan bid’ah yang nyata. Memulakan majlis jamuan ‘Ied dengan Al-Fatihah atau doa makan beramai ramai terutama yang demikian ini telah menjadi amalan harian seperti di rumah rumah anak yatim atau asrama asrama sekolah agama, semua itu adalah kesesatan yang tidak sepatutnya di lakukan pada hari Ied ataupun pada hari lainnya.
Marilah kita menyambut Ie'dil Fithri dengan cara yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. dan elakkan dari kita melakukan amalan yang bertentangan dengannya. Alangkah ruginya kita setelah sebulan melatih mengawal diri dengan beribadah dan menahan nafsu, tiba tiba di hari pertama iaitu di hari raya kita telah mula melakukan berbagai kebid’ahan dan kemaksiatan. Sesungguhnya bid’ah di dalam urusan agama itu amatlah besar bahayanya dan telah berkata Imam Malik :
مَنِ ابْتَدَعَ فِي الاِسْلاَمِ بِدْعَةً يَرَاهَا حَسَنَةً فَقَدْ زَعَمَ
اَنَّ مُحَمَّدًا خَانَ الرِّسَالَةَ لأَنَّ اللهَ يَقُوْلُ أَلْيَوْمَ
اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ فَمَا لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ
يَكُوْنُ الْيَوْمَ دِيْنًا
“Barangsiapa mengada adakan satu bid’ah dalam Islam yang dipandangnya satu kebaikan (hasanah), maka sesungguhnya ia telah menyangka bahawa Muhammad telah mengkhianati risalah Tuhannya, kerana sesungguhnya Allah telah berfirman : Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu. Maka apa apa yang tidak jadi agama pada hari itu tidaklah menjadi agama pada hari ini.”
sumber: koleksi teks daripada kuliah mingguan Persatuan Al-Islah
0 comments: