Gambar hiasan Pesta Kaamatan
Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun di Sabah bukan sekadar membawa mesej kegembiraan atas kejayaan petani tetapi juga lambang perpaduan rakyat pelbagai kaum dan etnik di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Justeru kata Musa Pesta Kaamatan adalah perayaan unik dalam kalendar perayaan di Sabah dan amat besar ertinya kepada seluruh rakyat di negeri itu."Selain untuk menghargai jasa-jasa petani kita, Pesta Kaamatan juga memberi peluang dan ruang kepada kita untuk merayakannya dengan penuh rasa kekitaan dan persaudaraan sesama kita," katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Pameran dan Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said dan anggota kabinet negeri.
Menurut Musa kerajaan negeri tidak teragak-agak mengeluarkan peruntukan bagi menyambut perayaan itu yang dilihat memainkan peranan penting dalam perpaduan rakyat Sabah.
Musa berkata sambutan bukan sahaja untuk memelihara kebudayaan tetapi turut berperanan menonjolkan kebudayaan Sabah kepada pelancong, luar sekali gus memaparkan keupayaan rakyat Malaysia di Sabah untuk hidup bersama dalam keadaan aman damai walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan etnik.
Sebab itu katanya adalah tidak menghairankan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering menyatakan keunikan perpaduan kaum di Sabah adalah model perpaduan rakyat 1Malaysia.
"Soal agama tidak menjadi masalah di Sabah. Itulah yang selalu saya katakan, saya menghormati agama anda dan anda juga menghormati agama saya. Kita saling menghormati. Inilah yang harus kita pamerkan kepada dunia," katanya.
Mengenai kehadiran ribuan pengunjung untuk memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan berkenaan, Musa berkata ia melambangkan sokongan rakyat kepada program-program kerajaan.
Sumber: Bernama
0 comments: