Sebuah jawatankuasa penaja untuk Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bajau Simunul Sandakan (PKKBSS) akan dibentuk dalam usaha memartabatkan bangsa Simunul yang juga mempunyai budaya tersendiri serta adat resamnya.
Penubuhan PKKBSS dilihat penting memandangkan kepelbagaian etnik membolehkan negara terkenal di seantero rantau antara paling unik kerana memiliki suku kaum yang berbeza-beza tetapi hidup harmoni di bawah Gagasan 1Malaysia.
Perhatian yang diberikan jawatankuasa penaja PKKBSS diketuai seorang pemimpin masyarakat terkemuka iaitu Datuk Haji Alipudin Puyon ini mendapat sambutan hebat terutamanya masyarakat yang berketurunan Simunul dari Kampung Bokara, Kampung Air, Kampung Karamunting, Kampung Istimewa dan Kampung Lupak Meluas.
Hasrat murni beliau juga disokong padu mereka-mereka yang juga berdarah Simunul tetapi tinggal di kampung-kampung sekitar daerah Sandakan sekali gus menyifatkan langkah menubuhkan PKKBSS sebagai tepat pada masanya memandangkan suku ini tidak kurang hebat dari segi kebudayaan zaman-berzaman.
Apatah lagi kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak keprihatinannya kepada semua kaum tidak terkira yang terbukti menerusi pelbagai pendekatan yang diperkenalkan telah membolehkan suara-suara akar umbi khususnya daripada kumpulan minoriti terus terbela.
Satu mesyuarat kali kedua berlangsung di Medan Selera Tun Razak dekat sini pada malam Selasa lepas yang membincangkan pembentukan jawatankuasa penaja PKKBSS sebelum senarai sedia ada diputuskan dan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan atau ROS di Kota Kinabalu untuk tujuan pendaftaran.
Begitu pun, pembentukan jawatankuasa penaja PKKBSS dibincangkan secara panjang lebar oleh sebab faktor komitmen kepada persatuan perlu didahulukan supaya apa yang diperjuangkan sejajar dengan matlamat dan halatujunya tercapai.
Bagi, Alipudin yang juga merupakan pemimpin NGO berpendapat tiada gunanya usaha menubuhkan sesebuah organisasi sekiranya tiada kepekaan yang akhirnya menyebabkan perjuangan terhenti di tengah jalan. “Saya mahu mereka yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa penaja PKKBSS hendaklah mempunyai iltizam tinggi demi memartabatkan Bajau Simunul di negeri ini.
“Saya mengambil langkah ini oleh sebab Bajau Simunul juga merupakan kumpulan minoriti yang memainkan peranan penting dalam konteks pembangunan negara.
“Bajau Simunul perlu dimartabatkan kerana seperti juga suku-suku kaum lain yang terdapat di Malaysia, bangsa ini sebenarnya berpotensi ke hadapan kerana punya kepelbagaian budaya dan adat resam yang tersendiri.
“Kita boleh lihat di Bokara saja, penduduknya terdiri daripada bangsa Simunul yang tidak pernah lupa kepada warisan zaman-berzaman. Saya kata kepada mereka, masanya sudah tiba bagi membentuk sebuah persatuan yang boleh mewakili suara hati Bajau Simunul Sandakan,” katanya ketika berucap pada mesyuarat pembentukan jawatankuasa penaja PKKBSS itu.
Hadir sama ialah Ketua Umno Bahagian Sandakan merangkap Timbalan Yang DiPertua, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Pusat iaitu Tan Sri Haji Ampong Puyon yang juga berketurunan Bajau Simunul dari Bokara selain beberapa pemimpin masyarakat Simunul sekitar Batu Sapi.
Mengulas lanjut, Alipudin yang juga selaku Presiden Persatuan Bola Tampar Negeri Sabah (SAVA) berharap golongan belia dan beliawanis yang berketurunan Bajau Simunul agar tampil menyertai apabila PKKBSS terdaftar sebagai persatuan nanti.
Ini katanya, PKKBSS adalah sebagai satu landasan kepada masyarakat yang berketurunan Bajau Simunul untuk bersatu padu di samping memelihara budaya supaya tidak ditelan dek arus pemodenan zaman serba canggih hari ini.
“Peranan persatuan yang kita tubuhkan ini adalah bagi manfaat generasi akan datang. Kita mahu anak-anak yang berbangsa Bajau Simunul mempunyai jati diri yang hebat daripada pelbagai aspek.
“Sebab itu, kita turut letakkan kebajikan pada namanya supaya senang apabila kita membantu anak-anak Simunul yang memerlukan bantuan dari segi pembelajaran atau apa saja yang melibatkan aktiviti mampu membangunkan mereka.
“Mengenai kebudayaan pula, kita akan menyusun atur aktiviti yang akan menampilkan pelbagai keunikan masyarakat Bajau Simunul dalam aspek kesenian seperti tarian termasuk adat resamnya,” kata beliau.
Beliau menambah usaha penubuhan PKKBSS ini adalah bertujuan untuk memperjuangkan bangsa yang sudah lama wujud ini sekali gus menjadikannya salah sebuah kaum minoriti yang beridentiti tinggi serta mampu memberikan sumbangan dalam konteks budaya mahu pun ekonomi.
Sumber: ROZZALIN HASHIM (rozzalin@newsabahtimes.com.my)
0 comments: