Persiapan menjelang operasi bancian di empat perkampungan air di sini selama tiga hari bermula 15 Februari depan berjalan lancar dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kini bersedia sepenuhnya bagi menjayakan operasi itu.
Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata segala kerja dirancang rapi meliputi aspek latihan pembanci dan kawalan keselamatan di perkampungan itu.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak 174 pembanci yang dikenal pasti telah menghadiri kursus pembancian yang dikendalikan Jabatan Perangkaan di sini selama dua hari bermula 27 Januari lepas.
"Kami harap kesemua mereka (pembanci) dapat turun padang untuk menjayakan operasi bancian yang kami rancang kerana sebarang pengurangan dari segi jumlah pembanci boleh menjejaskan sedikit sebanyak kelancaran operasi bancian ini," katanya dalam ucapan alu-aluan sempena Mesyuarat Penyelarasan Penempatan Semula Perkampungan Air Sandakan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pertahanan Esscom Mej Jen Datuk Masrani Parman, Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan Esscom Mej Jen Datuk Mohd Noor Osman, Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan Esscom DCP Datuk Ahmad Nadzir Nordin dan Pengarah Bahagian Awam dan Khidmat Pengurusan Esscom Abdul Rahim Ishak.
Mohammad berkata mengikut perancangan, rumah-rumah di perkampungan air itu akan dinomborkan tiga hari sebelum operasi bancian dimulakan.
"Pada hari pembancian, pembanci akan menemu ramah ketua isi rumah setiap rumah yang dinomborkan dan seterusnya mengisi borang soal selilik yang disediakan Jabatan Perangkaan," katanya.
Mohammad berkata dapatan daripada operasi bancian yang tidak membabitkan penguatkuasan dan penangkapan itu diharap dapat merungkai pelbagai persepsi terhadap status dan kewujudan perkampungan air.
"Misalnya jumlah sebenar warga negara dan bukan warga negara yang mendiami empat perkampungan air itu hanya dapat diketahui melalui proses bancian.
"Jadi, operasi bancian ini amat penting bagi membantu kerajaan dan Esscom merancang jalan penyelesaian terbaik kepada masalah perkampungan air atau setinggan, terutama dalam konteks keselamatan," katanya.
Dalam hal ini, Mohammad meminta semua pihak termasuk agensi kerajaaan negeri dan persekutuan serta pemimpin masyarakat supaya berganding bahu bagi merealisasikan misi murni itu.
Pada 22 Januari lepas, Mohammad mengumumkan bahwa Esscom akan melaksanakan operasi bancian di empat perkampungan air yang terletak di pinggiran bandar Sandakan iaitu Mangkalinau, Cahaya Baru, Muhibbah dan Forest.
Katanya bancian dilakukan bagi mengetahui jumlah rumah, penduduk, keluarga, demografi penduduk warganegara dan bukan warganegara dengan mengenal pasti jenis dokumen yang dipegang mereka.
Menurutnya berdasarkan statistik bancian Majlis Perbandaran Sandakan di empat perkampungan air itu terdapat 3,164 rumah dan daripada jumlah itu 1,688 diduduki warganegara dan 1,476 diduduki bukan warganegara yang memiliki dokumen dengan jumlah penduduk sekitar 12,501 orang.
Katanya Sandakan merupakan satu daripada tiga daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang dipilih sebagai projek perintis program itu, dan operasi pertama dilancarkan di Kampung Simunul tahun lepas manakala operasi bancian bagi daerah Lahad Datu masih di peringkat perancangan.
Di bawah Esszone, terdapat 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Esscom ditubuhkan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari tahun lepas.
Sumber: Bernama
0 comments: