27 November 2013

Kerjasama semua pihak diperlukan untuk menjayakan Esscom - Ketua Menteri Sabah


Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj. Aman ditemubual di Studio Mini Sandakan FM


Tugas menjaga dan menjamin keamanan serta kedaulatan negara tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan sahaja tetapi turut memerlukan penyertaan semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta atau penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj. Aman berkata, fungsi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tidak mampu berfungsi dengan baik sekiranya tidak mendapat bantuan dan sokongan berterusan daripada pihak-pihak berkenaan.

"Kerajaan amat komited menjayakan kedua-dua komponen itu bagi menjaga kedaulatan negara, buktinya banyak peruntukan disediakan iaitu lebih RM75 juta bagi pembangunan infrastruktur, aset dan sumber manusia yang bertujuan memastikan matlamatnya tercapai," katanya semasa merasmikan program Semarak Bersama Esscom, di Dewan Masyarakat Sandakan pada Ahad..

Pada majlis itu, Musa turut melancarkan Buletin Esscom yang bertujuan memberikan maklumat tepat dan sahih tentang situasi keselamatan perairan negara serta berpeluang mengikuti perkembangan terkini Esscom dari semasa ke semasa.

Program itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Musa berharap penyertaan agensi-agensi penguatkuasaan itu akan membantu memantapkan kefahaman dan pengetahuan rakyat tentang peranan serta fungsi Esscom.

Katanya, program itu mampu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan anggota masyarakat apabila mereka melihat bahan-bahan pameran, pada masa sama dapat mendengar secara terus penerangan daripada agensi terlibat tentang situasi terkini keselamatan negara serta sumbangan yang boleh diberikan.

"Buletin itu juga mampu membantu menangkis dan memberi penjelasan terhadap isu-isu keselamatan yang sering dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan rakyat," katanya.


Sumber: utusan-online



0 comments: