06 Oktober 2013

Sasaran Pembiayaan Meningkat 30%




AMANAH IKHTIAR MALAYSIA (AIM) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pembiayaan sebanyak 20 hingga 30 peratus tahun depan berbanding jumlah sasaran pembiayaan tahun ini sebanyak RM1.9 bilion.


Ini sejajar dengan penambahan RM300 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baru-baru ini.

Pengarah Urusan AIM Datuk Zabidah Ismail berkata badan itu sudah mengagihkan RM2 bilion kepada usahawan baharu pada 2012.

"Tahun ini, sudah lebih RM1 bilion (jumlah pembiayaan). Kita juga yakin dapat mencapai sasaran untuk memenuhi sasaran pembiayaan tersebut," katanya.

Zabidah berkata jumlah sasaran pembiayaan tahun ini rendah sedikit berbanding jumlah pembiayaan tahun lepas memandangkan AIM telah melakukan rasionalisasi yang tertumpu kepada peningkatan kemahiran pemohon sebelum memberi pembiayaan.

"Ini disebabkan sahabat (anggota) baharu serta pegawai kami memerlukan lebih banyak latihan.

Oleh sebab itu, bagi meningkatkan lagi pembiayaan, tumpuan kami kini khusus kepada meningkatkan kemahiran bidang-bidang yang perlu supaya tidak timbul masalah pembayaran balik pinjaman kepada AIM," katanya.

Beliau juga berkata sehingga akhir tahun ini, AIM menyasarkan mendaftarkan 370,000 sahabat.

"Jadi, pada 2015, sejajar dengan berakhirnya Rancangan Malaysia Kesepuluh, seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri, kita diberi mandat untuk menjangkau 500,000 sahabat," kata Zabidah.

Tahun lepas AIM mendaftarkan 60,000 sahabat baharu.

Dalam pada itu, Zabidah menolak dakwaan AIM memilih dalam memberi pembiayaan kepada sahabat di negeri pimpinan pembangkang.

Zabidah berkata seperti yang termaktub dalam ikrarnya, AIM tidak memilih agama, politik serta jantina dalam menyalurkan pembiayaan.

"Jika melihat dari segi kemiskinan, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak dan Kelantan menjadi tumpuan kami. Peminjam di Kelantan merupakan angka kedua tertinggi selepas Sabah.

Jadi sudah tentulah tumpuan kami mereka yang dalam kalangan rata-rata masih miskin dan berada di kawasan luar bandar, di kampung-kampung.

"Jadi tidak tepatlah dakwaan itu," katanya.

AIM ialah badan amanah persendirian yang ditubuhkan mengikut undang-undang, bagi membantu golongan kurang berkemampuan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia menerusi Pembiayaan Ikhtiar untuk menambahkan pendapatan.


Sumber: Bernama





0 comments: