05 Februari 2013

3,796 pertubuhan belia tidak aktif - Ahmad Shabrey


Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebanyak 80 peratus atau 3,796 daripada lebih 4,000 pertubuhan belia tunggal di negara ini berpotensi untuk digantung atau dibatalkan kerana tidak aktif.

Katanya mereka yang tidak bernaung di bawah mana-mana pertubuhan belia yang lebih kukuh misalnya di bawah Majlis Belia Malaysia, turut gagal mengemukakan penyata tahunan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia.

Menurutnya kebanyakan pertubuhan belia berkenaan berkemungkinan ditubuhkan hanya kerana ingin mengikut trend tanpa matlamat tertentu atau berharap untuk mendapat peruntukan secara automatik.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di Putrajya pada Isnin.

Katanya. "Sebab itu kita rasa persatuan belia ini mesti mengemaskinikan kaedah-kaedah mereka secara inovatif dan dalam masa yang sama mereka juga mesti mengembangkan bukan sahaja nama mereka tetapi penjenamaan nama mereka mesti dibesarkan dan dikemaskini tujuannya (penubuhan)."

Beliau berkata antara faktor yang menentukan kejayaan penubuhan sesuatu pertubuhan belia itu ialah pentadbiran, kepimpinan, wawasan, perancangan, pembahagian tugas, peruntukan kewangan, sokongan masyarakat dan semangat kesukarelawan.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyerahkan cek bantuan pentadbiran bernilai RM10.1 juta kepada Pertubuhan Belia Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah bagi tahun ini.

Daripada jumlah itu, enam badan beruniform yang bergabung dengan Majlis Belia Malaysia buat kali pertama mendapat peruntukan daripada kementerian dengan jumlah keseluruhan RM180,000.

Peruntukan diberikan supaya mereka dapat menjalankan aktiviti dengan lebih proaktif untuk membentuk belia Malaysia agar lebih berdaya saing.


Sumber: bernama


Related Posts:

0 comments: