Kerajaan negeri hari ini menyerahkan sumbangan wang ihsan berjumlah RM37,000 kepada 74 ketua isi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut Sandakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyampaikan sumbangan wang ihsan itu kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sekong Hazrulizah Mohd Dani, dengan setiap ketua isi keluarga menerima RM500.
Selain bantuan wang ihsan, kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am turut memberi bantuan tambahan sebanyak RM3,000 seorang kepada 74 ketua isi keluarga yang merangkumi alat binaan rumah, makanan mentah dan peralatan asas dapur.
“Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban mangsa kebakaran yang terlibat. Saya berharap semuanya bersabar menghadapi dugaan terutama ketika bulan Ramadan ini.
“Kerajaan Negeri Sabah ingin merakamkan ucapan dukacita kepada semua mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut Sandakan,” katanya di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kebakaran di Kampung Sundang Laut Sandakan pada pagi semalam, ia memusnahkan sebanyak 53 buah rumah dengan membabitkan 74 ketua isi keluarga dan seramai 314 mangsa warga termpatan.
Sumber: Utusan Borneo
0 comments: