Kerajaan negeri kini dalam proses menyediakan Pakej Kedua Rangsangan Ekonomi Sabah untuk merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi negeri.
Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata, objektif utama pakej kedua berkenaan bagi menyuntik keyakinan para pelabur dan komuniti perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan pergerakan (PKP) berakhir.
Menurutnya, kerajaan perlu membantu para pelabur dan komuniti perniagaan bukan sahaja dalam usaha pemulihan, tetapi juga untuk memastikan perkembangan dan kesinambungan hala tuju perniagaan mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-15 di sini semalam.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri serta ahli jemaah menteri atas pelbagai pembaharuan dan inisiatif penambahbaikan walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran dan kekangan.
"Penguatkuasaan PKP di seluruh negara mulai 18 Mac 2020 ternyata menjejaskan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat kecuali bagi sektor-sektor dan perkhidmatan yang penting (essential services)," katanya.
Beliau berkata, sebagai kerajaan yang prihatin dan memahami kesulitan rakyat dan akiviti perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19, kerajaan negeri melancarkan Pakej Bantuan COVID-19 Sabah berjumlah RM670 juta yang bersifat inklusif.
Selain itu katanya, kerajaan turut mengambil tindakan wajar dan pantas dengan menubuhkan Pusat Gerakan COVID-19 Sabah bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memberi tumpuan untuk meningkatkan dan menambahbaik perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terutamanya dalam pelaksanaan program-program peningkatan kualiti kesihatan awam.
Menurutnya, usaha terbabit bagi memastikan hospital di Sabah berupaya memenuhi keperluan standard perkhidmatan yang ditetapkan oleh 'Malaysian Society for Quality in Health' (MSQH).
Katanya, langkah sedemikian akan terus diberi penekanan oleh kerajaan negeri dan akan memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah Klinik Kesihatan Jenis Lima menerima lawatan pakar perubatan keluarga setiap bulan.
Ketibaan Juhar pada majlis itu disambut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Speaker DUN Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali.
Sumber: Utusan Borneo
0 comments: