Usaha menaiktaraf Lapangan Terbang Sandakan dilihat akan membantu melonjakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi di daerah ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, penaiktarafan landasan lapangan terbang itu bukan hanya akan meningkatkan kehadiran pelancong ke Sandakan tetapi juga, membantu meningkatkan eksport makanan laut.
Beliau berkata, apabila landasan itu sudah siap menjelang 2021, pesawat lebih besar seperti Airbus A320 dan Boeing 737 boleh mendarat di Sandakan.
“Ini merupakan langkah yang harus dialu-alukan dan peruntukan RM80.9 juta itu diberikan bagi merealisasikan pembesaran landasan dan peningkatan kemudahan lain di lapangan terbang berkenaan.
“Malah, Menteri Kewangan menyatakan akan memberi peruntukan bagi menaiktaraf beberapa lapangan terbang lain di Sabah,” katanya semasa Sidang Media selepas Majlis Pecah Tanah Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, di sini hari ini.
Tambahnya, beliau percaya penaiktarafan sebegitu akan turut menarik kemasukan pelabur ke Sandakan.
Menurutnya, usaha menaiktaraf sistem radar di beberapa lapangan terbang termasuk di Sandakan akan membolehkan penerbangan turut dilakukan pada waktu malam.
Beliau juga akan berbincang dengan pimpinan di negeri lain bagi mewujudkan rangkaian perhubungan ke Sandakan. Misalnya, menghubungkan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Sandakan.
Katanya, langkah mewujudkan rangkaian perhubungan itu akan membolehkan pelancong berada lebih lama di Malaysia.
Sumber: borneotoday.net
0 comments: